BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: 'Kita jangan pegang sangat... banyak parti sudah kena dengan mereka' - Zahid ulas kenyataan Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu tiada sebarang perjanjian dengan PAS berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, kecuali persefahaman sesama parti saja.
PRN NS: 'Kita jangan pegang sangat... banyak parti sudah kena dengan mereka' - Zahid ulas kenyataan Hadi Awang

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (kiri), dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu tiada sebarang perjanjian dengan PAS berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, kecuali persefahaman sesama parti saja.

Malah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mengesahkan UMNO tidak pernah memuktamadkan perbincangan dengan PAS, termasuk mengenai kerusi bakal ditandingi pada PRN berkenaan.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tidak semua perkara dinyatakan PAS perlu diterima atau dianggap sebagai kenyataan yang tepat.

"Memang kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS. Jika ada perbincangan pun, sekadar understanding atau persefahaman dan kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu.

"Jika kita melihat perkembangan di Johor, apa yang dinyatakan mereka itu berbeza dengan realiti sebelum hari pengundian, terutama pada hari penamaan calon... apalagi hari pengundian.

"Jadi, janganlah positif sangat dengan mereka ini tetapi kita cuma boleh bersangka baik saja.

"Mereka ini boleh tukar goalpost (sasaran) bila-bila masa. Jadi, saya menganggap itu sebagai satu kenyataan politik saja," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan PAS bersedia menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada UMNO sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti itu dapat dimuktamadkan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dipetik berkata rundingan antara kedua-dua pihak berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan akan ditandingi, sedang berlangsung dan disifatkan sebagai sangat positif.

Ditanya mengenai rundingan kerusi sebagaimana didakwa Abdul Hadi pula, Ahmad Zahid berkata, kata-kata PAS tidak boleh dipegang.

"Kita jangan pegang sangat... sebab mereka (PAS) boleh berubah, sudah banyak kali dan banyak parti sudah kena dengan mereka ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan