BH Online
Ringkasan Berita

BN guna formula khusus tawan Negeri Sembilan - Zahid

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan formula khusus yang akan disesuaikan dengan landskap politik Negeri Sembilan termasuk dalam penentuan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
BN guna formula khusus tawan Negeri Sembilan - Zahid

Ahmad Zahid menyantuni peserta pada Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan formula khusus yang akan disesuaikan dengan landskap politik Negeri Sembilan termasuk dalam penentuan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata strategi pemilihan calon di negeri itu tidak boleh disamakan dengan negeri lain kerana mengambil kira beberapa faktor penting termasuk jumlah kerusi, demografi penduduk dan komposisi pengundi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap negeri mempunyai realiti politik tersendiri dan tidak boleh disamakan, walaupun BN menang besar pada PRN Johor kelmarin.

Justeru, katanya, pendekatan yang digunakan perlu disesuaikan bagi memastikan BN meletakkan calon paling tepat mengikut keperluan setempat.

"Ini bukan sekadar soal calon. Situasi di Negeri Sembilan tentunya berbeza kerana jumlah kerusinya juga berbeza.

"Demografi kependudukan dan pengundi juga berbeza. Maka formulanya tentu harus disesuaikan dengan situasi politik di Negeri Sembilan," katanya selepas Majlis Amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, senarai calon bertanding PRN Negeri Sembilan ke-16 akan diumumkan pada minggu ini.

Sebelum ini, gabungan parti itu dijangka mengekalkan formula kempen pada PRN Johor ke-16 bagi PRN Negeri Sembilan tidak lama lagi selepas pendekatan itu berjaya membuahkan kemenangan besar dan memperoleh mandat kukuh daripada rakyat.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang berkata, pendekatan kempen berhemah, berdisiplin dan mengutamakan kestabilan tanpa terbabit dalam budaya politik kebencian atau fitnah akan dilaksanakan di Negeri Sembilan.

PRN Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini. Pilihan raya ini akan mempertaruhkan semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRN Ogos 2023, BN menang 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi dan Pakatan Harapan (PH) pula menguasai 17 kerusi menerusi kemenangan 11 kerusi oleh DAP, lima kerusi oleh PKR dan satu kerusi oleh Parti Amanah Negara (AMANAH).

Video Terkini

Berita Berkaitan