BH Online
Ringkasan Berita

'Saya keluar mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi tanggungjawab lebih besar' - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengakui perjalanan kes mahkamahnya yang panjang sehingga lebih enam tahun hampir merampas banyak perkara dalam hidupnya termasuk masa, nama baik dan masa depannya.
'Saya keluar mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi tanggungjawab lebih besar' - Syed Saddiq

Syed Saddiq bersama ibu, bapa, Bella Astilah dan dua anaknya, Ayden Adrean serta Ara Adreanna. - Foto ihsan FB Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengakui perjalanan kes mahkamahnya yang panjang sehingga lebih enam tahun hampir merampas banyak perkara dalam hidupnya termasuk masa, nama baik dan masa depannya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan ia sama sekali tidak pernah melunturkan kepercayaannya terhadap Malaysia.

Beliau berkata, tindakannya meneruskan kes itu bukan berlandaskan rasa benci kepada mana-mana pihak, sebaliknya didorong oleh rasa cinta yang mendalam terhadap negara.

"Sepanjang tempoh lebih enam tahun mengharungi proses perundangan itu, saya tidak pernah melarikan diri, menangguhkan kes atau menuntut sebarang layanan istimewa.

"Mengapa? Kerana saya percaya Malaysia mesti dipimpin oleh mereka yang sanggup kehilangan kedudukan demi prinsip, bukan menjual prinsip demi kedudukan.

"Saya boleh memilih jalan yang lebih mudah. Saya boleh berdiam diri. Saya boleh tunduk. Tetapi kalau kita sendiri menyerah ketika diuji, bagaimana kita mahu meminta rakyat terus percaya kepada negara ini" katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Pagi tadi, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais; Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, menolak rayuan pendakwaan.

Dalam penghakiman majoriti 2-1, panel dua hakim iaitu Che Mohd Ruzima dan Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.

Syed Saddiq berkata, perjalanan yang dilaluinya itu mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan yang ada itu hanya sementara, sebaliknya prinsip, maruah serta khidmat yang akan tinggalkan kepada generasi seterusnya.

"Hari ini bukan hari untuk membalas dendam. Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar," katanya.

Syed Saddiq berkata, fokusnya kini kembali kepada tugas hakiki dan perjuangan demi negara apabila memaklumkan akan terus bergerak ke Parlimen bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat sejurus selesai urusan di mahkamah.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas keputusan kesnya itu dan menyifatkan ia bukan sekadar mengenai kebebasan dirinya, tetapi kemenangan kepada satu prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan walaupun terpaksa membayar harga yang amat mahal.

Dalam hantaran sama, beliau turut merakamkan penghargaan buat ibu bapa, keluarga, tunangnya, selebriti Bella Astillah, pasukan peguam, sahabat, pengundi di Parlimen Muar serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan dan menyokongnya sepanjang tempoh sukar itu.

"Terima kasih kepada Mama dan Abuyah, yang menanggung kesakitan ini bersama saya dalam diam. Kepada keluarga, tunang saya, pasukan guaman, sahabat, rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti mendoakan saya, terima kasih," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan