BH Online
Ringkasan Berita

Wang RM120,000 bukan milik Syed Saddiq, ia milik penderma - Hakim Abu Bakar

PUTRAJAYA: Penghakiman berbeza yang mensabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur, menyatakan wang RM120,000 seperti dalam tuduhan bukan milik bekas ketua ARMADA BERSATU itu.
Wang RM120,000 bukan milik Syed Saddiq, ia milik penderma - Hakim Abu Bakar

Syed Saddiq (tengah) pada sidang media selepas mahkamah membebaskan beliau sepenuhnya daripada kes membabitkan dana ARMADA di Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Penghakiman berbeza yang mensabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur, menyatakan wang RM120,000 seperti dalam tuduhan bukan milik bekas ketua ARMADA BERSATU itu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, yang membacakan penghakiman minoriti beliau, berkata wang itu datang daripada penderma melalui kutipan dana.

Beliau berkata frasa (menyalahgunakan harta) "untuk diri sendiri" dalam pertuduhan perlu dibaca bersama dengan frasa "telah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta."

Hakim itu berkata, frasa berkenaan membawa maksud bahawa responden (Syed Saddiq) menyalahgunakan harta secara tidak jujur untuk kegunaannya sendiri.

Abu Bakar berkata, jumlah yang terbabit ialah RM120,000 di dalam akaun Maybank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), iaitu sebuah syarikat milik saksi pendakwaan ke-13,

Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA.

Katanya, ia dipindahkan oleh Rafiq Hakim ke akaun Maybank milik responden atas arahannya.

Beliau berkata persoalan utama ialah sama ada Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul apabila memutuskan wang itu milik Syed Saddiq.

Menurutnya, isu itu adalah amat penting kerana jika wang berkenaan bukan milik responden, asas utama keputusan Mahkamah Rayuan bagi pertuduhan berkenaan tidak dapat dipertahankan.

"Dengan hormat, saya berpendapat wang itu bukan milik responden…wang berkenaan datang daripada penderma melalui kutipan dana. Ia adalah wang penderma dan bukannya wang responden.

"Tujuan ia dikumpulkan ialah untuk membiayai kempen pilihan raya responden, bukannya untuk digunakan sesuka hati oleh responden. Kemudiannya, wang itu dipindahkan daripada akaun peribadi Maybank responden ke akaun pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

"Jika wang milik responden, mengapa perlu dipindahkan daripada akaun ABBE ke akaun Maybank responden dan kemudian ke akaun ASB miliknya? Mengapa tidak terus dimasukkan ke akaun peribadi atau akaun ASB responden sejak awal?" katanya.

Abu Bakar berkata, Mahkamah Tinggi mendapati wang itu dikumpulkan untuk kempen pilihan raya responden, dan dapatan itu turut diakui Mahkamah Rayuan.

Menurutnya, beberapa hari selepas kutipan dana dibuat, dan sebelum tempoh rasmi kempen bermula, responden mengarahkan Rafiq Hakim memindahkan RM120,000 itu daripada akaun ABBE ke akaun peribadinya.

Katanya, tujuan asal kutipan dana itu tidak tercapai.

Abu Bakar berkata pendakwan berjaya membuktikan bahawa penderma tidak pernah dimaklumkan wang sumbangan mereka akan digunakan bagi membayar balik perbelanjaan peribadi responden yang didakwa telah dibelanjakan lebih awal.

"Tiada bukti menunjukkan kutipan dana itu dibuat bagi tujuan membayar balik perbelanjaan responden. Malah, tiada seorang pun penderma dimaklumkan bahawa sumbangan mereka akan digunakan untuk tujuan berkenaan.

"Oleh itu, kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur telah dibuktikan," katanya.

Bagi tuduhan pertama iaitu bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah, Abu Bakar membebaskan Syed Saddiq selepas mendapati pertuduhan itu tidak mengandungi maklumat yang mencukupi untuk menghendaki responden menjawabnya.

Bagi tuduhan ketiga membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, hakim berkenaan berkata Syed Saddiq tidak pernah menafikan bahawa RM50,000 itu dipindahkan ke akaun ASB miliknya.

Abu Bakar berkata, Syed Saddiq telah berurusan dengan wang berkenaan apabila memasukkannya ke dalam akaun ASB terbabit.

Beliau berkata ia hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang kerana ia dikumpulkan untuk kempen pilihan raya tetapi tujuan asal itu tidak dipenuhi.

Katanya, Seksyen 3 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 mentakrifkan "aktiviti menyalahi undang-undang" sebagai aktiviti yang membabitkan kesalahan berat atau membawa kepada perlakuan kesalahan berat.

"Kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan adalah antara kesalahan berat yang dinyatakan dalam akta berkenaan.

"Oleh itu, saya berpendapat pertuduhan ketiga juga berjaya dibuktikan. Bagi pertuduhan keempat, keputusan terhadap pertuduhan kedua perlu diambil kira.

"Oleh kerana tiada justifikasi bagi pemindahan RM120,000 ke akaun Maybank responden, maka tiada juga justifikasi bagi pemindahan RM50,000 daripada akaun itu ke akaun ASB responden.

"Seperti pertuduhan ketiga, wang RM50,000 itu juga bukan milik responden. Oleh itu, saya berpendapat pertuduhan keempat turut berjaya dibuktikan," katanya.

Abu Bakar kemudian meminda hukuman penjara bagi pertuduhan kedua (bersubahat untuk pecah amanah) daripada dua tahun kepada enam bulan namun mengekalkan hukuman satu sebatan.

Bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram, beliau turut meminda hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan kepada enam bulan, manakala denda RM10 juta dikekalkan.

Video Terkini

Berita Berkaitan