BH Online
Ringkasan Berita

'Walaupun hilang 4 kerusi pada PRN Johor, jumlah undi DAP meningkat' - DAP Perak

IPOH: DAP Perak menolak dakwaan parti itu kehilangan sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, sebaliknya menegaskan keputusan rasmi menunjukkan mereka memperoleh pertambahan undi walaupun kehilangan empat kerusi.
'Walaupun hilang 4 kerusi pada PRN Johor, jumlah undi DAP meningkat' - DAP Perak

Gambar hiasan

IPOH: DAP Perak menolak dakwaan parti itu kehilangan sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, sebaliknya menegaskan keputusan rasmi menunjukkan mereka memperoleh pertambahan undi walaupun kehilangan empat kerusi.

Menerusi hantaran di Facebook semalam, DAP Perak memaklumkan angka rasmi pilihan raya menunjukkan parti itu memperoleh tambahan 66,823 undi di 10 kerusi yang disandangnya di Johor, iaitu peningkatan 41.8 peratus daripada 159,769 undi pada PRN 2022 kepada 226,592 undi tahun ini.

"DAP tidak kehilangan pengundi di Johor. Kami memperoleh lebih banyak sokongan. Kami tidak tewas kerana penyokong kami menghilang, tetapi kerana pihak lawan berjaya menyatukan sokongan mereka dengan lebih berkesan," kata hantaran itu.

DAP Perak berkata, trend sama turut berlaku di empat kerusi yang gagal dipertahankan, iaitu Jementah, Tangkak, Johor Jaya dan Perling, apabila jumlah undi serta peratusan undi diterima parti itu meningkat.

Katanya, jumlah undi gabungan DAP di empat kerusi berkenaan meningkat daripada 55,392 pada 2022 kepada 82,997 tahun ini, manakala peratusan undi meningkat daripada 42.07 peratus kepada 44.36 peratus.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) mencatat peningkatan lebih besar apabila jumlah undinya melonjak daripada 49,037 kepada 95,971, selain peratusan undi gabungan meningkat daripada 37.24 peratus kepada 51.29 peratus.

"Itulah hakikat utama yang perlu dilihat," katanya.

DAP Perak menyifatkan keputusan itu berpunca daripada kemerosotan sokongan terhadap parti kuasa ketiga, khususnya Perikatan Nasional (PN), dengan sebahagian besar undi itu dipercayai beralih kepada BN.

Katanya, walaupun mustahil untuk menentukan corak pengundian setiap penyokong PN atau PAS, pola keseluruhan pada peringkat kawasan pilihan raya menunjukkan BN menyerap sebahagian besar sokongan yang hilang daripada PN.

"Model Muafakat Nasional (MN) yang lama dilihat kembali berfungsi dalam amalan menerusi penjajaran baharu yang masih belum dinamakan.

"UMNO menyediakan calon, jentera dan platform kerajaan negeri, manakala penyokong PAS serta PN menyumbang sebahagian besar undi tambahan yang diperlukan untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) di kerusi marginal," katanya.

Pada masa sama, DAP mengakui PH dan parti itu perlu meneliti semula pelbagai aspek termasuk dasar, kepimpinan, komunikasi, strategi kempen serta pemilihan calon.

"Namun, fakta mesti didahulukan daripada sentimen. Angka tidak menunjukkan sokongan terhadap DAP merosot. Sebaliknya, ia menunjukkan sokongan kepada DAP meningkat tetapi diatasi oleh penyatuan sokongan yang lebih besar kepada BN.

"Kemarahan selepas kekalahan adalah sesuatu yang boleh difahami. Ahli dan penyokong sudah melaburkan masa, harapan dan kepercayaan kepada kami. Apabila calon mereka sokong gagal menang, kekecewaan itu pasti mencari tempat untuk diluahkan," katanya.

DAP Perak turut mengingatkan mana-mana kerusi yang memperoleh sokongan kurang daripada 50 peratus kini perlu dianggap sebagai kerusi yang terdedah kepada kekalahan, sambil menyatakan kerusi Stulang hanya berjaya dipertahankan dengan majoriti tipis 623 undi.

Katanya, parti itu perlu mengekalkan penyokong sedia ada, menggerakkan pengundi yang tidak keluar mengundi dan memperluaskan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu, masyarakat majmuk, golongan muda serta keluarga bekerja.

"Penjajaran semula berteraskan penyatuan Melayu, sama ada diumumkan secara rasmi atau dilaksanakan secara tidak rasmi, adalah ancaman struktur terbesar kepada PH.

"DAP tidak kehilangan sokongan di Johor. DAP memperoleh lebih banyak sokongan. Kami kehilangan empat kerusi kerana BN memperoleh pertambahan undi yang lebih besar, sebahagian besarnya hasil penyatuan pengundi yang sebelum ini menyokong PN, PAS dan parti alternatif lain.

"Itu bukan alasan, sebaliknya titik permulaan berasaskan fakta untuk memahami apa yang berlaku, membetulkan kelemahan kami dan membuat persediaan bagi menghadapi cabaran seterusnya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan