PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, dua hakim yang membarisi panel membabitkan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.
Kedua-dua Che Mohd Ruzima dan Sequerah mendapati tiada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan alasan untuk merayu keputusan mahkamah berkenaan.

Sabitan serta hukuman itu adalah berhubung dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta, dan dua kesalahan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.
Sebaik saja penghakiman terakhir dibacakan oleh Sequerah yang memuktamadkan pembebasan Syed Saddiq selepas keputusan 1-1 sebelum itu, hampir semua yang berada dalam mahkamah bertepuk tangan.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, yang mempengerusikan panel hakim itu bagaimanapun membuat keputusan berbeza.

Ketiga-hakim hakim berkenaan membacakan penghakiman bertulis masing-masing yang bermula dengan Abu Bakar, diikuti Che Mohd Ruzima dan Sequerah.
Selepas keputusan muktamad diberikan, Abu Bakar kemudian memanggil Syed Saddiq ke hadapan panel.
Hakim itu berkata, sabitan dan hukuman diputuskan beliau bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat kini tidak lagi mempunyai kesan kerana dua lagi hakim memutuskan Syed Saddiq (responden) tidak bersalah bagi pertuduhan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa itu adalah hak mereka sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dalam sistem keadilan, serta menegaskan mereka juga adalah manusia biasa.
"Kami ada masa sihat dan ada masa tidak sihat… apabila seorang hakim tidak sihat, perkara seperti penangguhan kes memang boleh berlaku.
"Ia bukan sesuatu yang luar biasa atau belum pernah berlaku. Saya berharap semua pihak dapat memahaminya.
"Kami juga mengikuti perkembangan yang berlaku di sekeliling kami... kami tahu responden ada perancangan selepas keputusan kes ini.
"Kini selepas keputusan majoriti memihak kepada responden, saya berharap beliau dapat meneruskan perancangan (perkahwinan) dengan sebaik-baiknya," katanya.
Che Mohd Ruzima pula berkata, mereka sebagai hakim tidak boleh mempertahankan diri di khalayak ramai atau menjawab kenyataan mana-mana pihak.
Oleh itu, katanya, beliau ingin menasihati pihak berkepentingan supaya tidak mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya.
Beliau berkata, keputusan sebenarnya telahpun tersedia untuk dibacakan dalam kes berkenaan.
"Tetapi apabila ketiga-tiga hakim diarahkan menulis alasan penghakiman masing-masing dan seorang daripada mereka jatuh sakit, adakah wajar keadaan itu disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa?
"Sebagai hakim, kami tidak boleh menjawab segala persepsi masyarakat atau mempertahankan diri di ruang awam, oleh itu pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing dengan bertanggungjawab.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, kerana mengambil pendirian neutral dan mendoakan kesihatan hakim yang tidak sihat," katanya.
Selepas prosiding itu, ahli keluarga Syed Saddiq yang berada di galeri awam dilihat saling berpelukan, manakala beliau bersalaman dengan peguam.























