BH Online
Ringkasan Berita

Penduduk bimbang harimau kumbang kembali 'meronda' di Pengkalan Gawi

KUALA BERANG: Selepas lebih seminggu, kelibat seekor harimau kumbang sekali lagi dilihat berkeliaran di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Pengkalan Gawi, malam kelmarin.
Penduduk bimbang harimau kumbang kembali 'meronda' di Pengkalan Gawi

Kehadiran harimau kumbang berkeliaran dekat stesen minyak dan R&R Pengkalan Gawi timbulkan kebimbangan orang ramai. Foto ihsan pembaca

KUALA BERANG: Selepas lebih seminggu, kelibat seekor harimau kumbang sekali lagi dilihat berkeliaran di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Pengkalan Gawi, malam kelmarin.

Keadaan itu menimbulkan kegusaran orang ramai yang menggunakan kemudahan di situ terutama kanak-kanak yang keluar dari kenderaan untuk ke kedai makan di kawasan R&R berkenaan.

Pekerja penyelenggaraan, Mohd Roslan Rosman, 45, berkata dia mengetahui kehadiran seekor harimau kumbang berkeliaran di situ melalui media sosial sejak minggu lalu, namun kelibat haiwan itu kembali tular selepas ditemui orang awam di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kehadiran harimau kumbang berkeliaran di kawasan berhampiran stesen minyak dan R&R Gawi, memberi ancaman keselamatan kepada orang ramai yang menggunakan laluan itu.

"Kehadiran harimau kumbang di kawasan itu juga berbahaya bagi pekerja di lapangan yang tidak tahu sebarang kemungkinan boleh berlaku jika tidak berhati-hati," katanya.

Beliau berkata, walaupun lokasi itu berhampiran hutan simpan, namun kehadiran harimau kumbang sejak minggu lalu dilihat berbahaya buat pengguna stesen minyak dan R&R berhampiran.

Penduduk, Mamat Abdullah, 60, berkata kehadiran harimau kumbang di situ mungkin disebabkan kedudukan lokasinya berhampiran hutan tebal yang menjadi habitat semula jadinya.

"Kita harap pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya kerana selain keselamatan manusia, keselamatan haiwan itu juga perlu diambil kira kerana bimbang dirempuh kenderaan terutama pada waktu malam.

"Sudah dua kali harimau kumbang muncul dan 'meronda' di kawasan Gawi, jadi langkah sewajarnya harus dilakukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata pihaknya menerima makluman berkaitan harimau kumbang itu pada kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu.

"Pemasangan perangkap kamera sudah dilakukan pada 7 Julai lalu, manakala pemasangan perangkap harimau dilakukan kelmarin dan PERHILITAN akan membuat pemantau berkala di lokasi terbabit.

"Lokasi harimau itu dilihat sebenarnya berdekatan Hutan Simpan Hulu Telemong dan Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan