BH Online
Ringkasan Berita

PERKESO salur RM248.23 juta bantuan melalui faedah kepada pencarum

KUALA LUMPUR: Seramai 42,807 individu dilaporkan mengalami kehilangan pekerjaan setakat 12 Jun lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
PERKESO salur RM248.23 juta bantuan melalui faedah kepada pencarum

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 42,807 individu dilaporkan mengalami kehilangan pekerjaan setakat 12 Jun lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Beliau berkata berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), agensi itu sudah meluluskan 134,123 tuntutan faedah melalui program LINDUNG Kerjaya, membabitkan jumlah keseluruhan RM248.23 juta.

Katanya, dana pampasan dan bantuan merangkumi agihan pelbagai elaun kritikal yang direka khusus sebagai benteng perlindungan kewangan segera.

Antara faedah utama yang disalurkan termasuklah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA). Di samping bantuan berbentuk tunai, peruntukan berkenaan turut membabitkan pembiayaan Fi Latihan (FL) serta Elaun Latihan (EL) bagi membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran masing-masing.

Ramanan berkata industri pembuatan kekal menjadi pasaran paling terjejas apabila mencatatkan kes kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu sebanyak 8,702 kes atau bersamaan 20.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata kemerosotan dalam sektor ini dipengaruhi kuat oleh lonjakan kos operasi domestik selain faktor ketidaktentuan permintaan di peringkat global yang menjejaskan rantaian bekalan.

Katanya sektor perdagangan borong dan runcit pula berada di kedudukan kedua paling terkesan dengan implikasi pemberhentian seramai 7,560 pekerja, diikuti oleh aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan yang mencatatkan seramai 4,239 individu hilang mata pencarian.

"Inisiatif strategik dengan suntikan dana melebihi RM580 juta di bawah Skim LINDUNG Kerjaya ini disasarkan untuk membantu lebih 56,000 pekerja terjejas melalui intervensi pekerjaan semula, sokongan dan pelbagai bantuan kewangan berkala.

"Langkah ini amat penting bagi memastikan fungsi jaringan keselamatan sosial negara kekal dinamik dan mampan dalam mendepani impak krisis ekonomi global yang berpanjangan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan kesan daripada krisis global dan statistik terkini pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) komited dalam melakukan pembaharuan perundangan demi kepentingan pekerja tempatan. Antara langkah konkrit yang diambil termasuklah usaha menambah baik Akta Sistem Insurans Pekerjaan [Akta 800], khususnya membabitkan semakan semula kadar bayaran faedah bagi Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Latihan (EL), dan Fi Latihan (FL).

Beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan bantuan baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti bagi merangsang pergerakan tenaga kerja ke kawasan yang mempunyai permintaan pasaran yang lebih tinggi.

"Kementerian melalui PERKESO telah merangka jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh supaya tiada golongan pekerja yang tercicir ketika mendepani ketidaktentuan global ini. Selain daripada bantuan kewangan, fokus utama kita adalah memastikan mangsa pemberhentian kerja mendapat pembelaan segera melalui faedah perkhidmatan pekerjaan untuk membantu mereka kembali menyertai pasaran kerja secepat mungkin.

"Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO kini ditugaskan untuk memantau secara proaktif setiap kes melalui khidmat kaunseling kerjaya, carian yang disasarkan, serta padanan kerjaya yang tepat bagi memastikan keberkesanan proses penempatan semula ini," katanya.

Ramanan berkata usaha membantu mempercepatkan penempatan semula pekerja turut diperluaskan lagi menerusi penganjuran Program Karnival Kerjaya di seluruh negara.

Beliau berkata sepanjang Januari sehingga 31 Mei sebanyak 2,989 program karnival telah berjaya dilaksanakan dengan menarik kehadiran seramai 86,594 pencari kerja tempatan.

Katanya, impak daripada penganjuran berskala besar ini amat memberangsangkan apabila seramai 14,029 individu berjaya memperoleh penempatan pekerjaan secara terus, manakala seramai 15,809 calon lagi dilaporkan berjaya melangkah ke peringkat temu duga seterusnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan