KEJAYAAN beberapa calon wanita serta calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam, menjadi petunjuk landskap politik kini bergerak ke arah perubahan semakin matang yang menyaksikan pengundi membuat penilaian secara lebih meluas dan inklusif.
Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) yang menguasai landskap politik Johor pada PRN kali ini, tidak ketinggalan membuka ruang penyertaan calon wanita dan golongan muda dalam usaha memenuhi perkembangan cita rasa pengundi kini.
Antara calon wanita mencuri perhatian ialah Nadhirah Afiqah Abdull Rahim (BN) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, dan Alwiyah Talib (BN) yang terus mendapat kepercayaan pengundi DUN Endau.
Kemenangan calon wanita memberi isyarat bahawa persepsi tradisional terhadap keupayaan golongan itu dalam kepimpinan politik semakin berubah.
Sepanjang berkempen, ramai calon wanita dilihat mengetengahkan pendekatan lebih berteraskan komuniti dengan memberi tumpuan kepada kebajikan, pendidikan, peluang ekonomi keluarga serta kesejahteraan masyarakat, sekali gus membina hubungan lebih dekat dengan pengundi.
Pada masa sama, kemenangan calon muda seperti See Ann Giap (BN) di kerusi DUN Jementah dan Wong Bor Yang (PH) di DUN Senai pula memperlihatkan ruang semakin terbuka kepada penyertaan generasi baharu dalam politik Johor.
Ini selari perubahan pola pengundi yang semakin menilai kemampuan dan pendekatan calon menyantuni masyarakat.
Strategi calon muda termasuk memanfaatkan media sosial sebagai medium mendekati pengundi dengan cara berkempen lebih santai, terbuka dan mudah diakses merentasi pelbagai lapisan umur.
Ia dilihat selari perubahan pola komunikasi politik semasa berikutan pengundi kini bukan saja menilai manifesto dan ceramah, tetapi juga cara calon berinteraksi secara langsung menerusi platform digital.
Hakikatnya, kemenangan calon muda bukan bermaksud pengalaman tidak lagi penting, sebaliknya menunjukkan pengundi mengutamakan keseimbangan antara idea baharu, kredibiliti dan kemampuan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Jika sebelum ini penilaian terhadap calon sering dikaitkan dengan pengalaman, senioriti atau kedudukan dalam parti, keputusan PRN kali ini memperlihatkan pengundi semakin menekankan soal kemampuan memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, rekod perkhidmatan dan keupayaan menyelesaikan masalah setempat tanpa mengira usia atau jantina.
Malah, hampir semua parti politik utama mempertaruhkan lebih ramai muka baharu, termasuk wanita dan golongan profesional muda sebagai usaha menyesuaikan strategi dengan perubahan demografi pengundi susulan pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran pemilih secara automatik.
Perkembangan itu sekali gus membuktikan politik Johor tidak lagi bergantung sepenuhnya pada nama besar atau tokoh berprofil tinggi, sebaliknya turut memberi ruang kepada calon memiliki hubungan rapat dengan masyarakat serta rekod khidmat yang diyakini.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, berkata faktor jantina calon bukan lagi penentu utama dalam keputusan pengundi membuat pilihan.
Sebaliknya, pengundi kini lebih mempertimbangkan keupayaan seseorang calon menyelesaikan isu setempat serta membawa perubahan berkesan kepada kawasan DUN yang ditandingi.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkembangan itu tidak bermakna kekangan terhadap penyertaan wanita dalam politik sudah berakhir kerana cabaran utama masih berlaku pada peringkat pemilihan calon oleh parti.
"Kemenangan beberapa calon wanita menunjukkan landskap politik Johor semakin bergerak ke arah politik berasaskan kompetensi dan bukan lagi identiti gender semata-mata.
"Pengundi semakin menilai calon berdasarkan kredibiliti, rekod perkhidmatan dan keupayaan menyelesaikan masalah setempat. Namun, ini tidak bermakna halangan terhadap penyertaan wanita telah hilang.
"Cabaran terbesar masih berlaku pada peringkat pemilihan calon kerana peluang untuk bertanding masih banyak ditentukan oleh struktur dalaman parti," katanya.
Mengulas prestasi calon muda pada PRN Johor ke-16, Mujibu berkata, keputusan dicapai menunjukkan faktor usia bukan kelebihan automatik dalam meraih sokongan pengundi.
Sebaliknya, beliau berkata, calon muda yang mempunyai rekod kerja, dikenali masyarakat setempat serta disokong jentera parti yang kukuh, lebih berupaya mencipta kemenangan berbanding mereka yang hanya bergantung pada populariti.
"Saya melihat prestasi calon-calon muda pada PRN Johor kali ini agak bercampur. Mereka yang mempunyai rekod kerja, dikenali di kawasan dan disokong jentera yang kukuh, menunjukkan prestasi lebih baik.
"Sebaliknya, calon muda yang hanya bergantung pada populariti atau kempen media sosial, masih sukar menembusi keyakinan pengundi," katanya.
Secara keseluruhan, PRN Johor kali ini memperlihatkan pengundi semakin menjauh daripada politik berasaskan persepsi semata-mata, sebaliknya membuat pertimbangan berdasarkan keupayaan calon.
Walaupun faktor usia dan gender memberi nilai tambah, kedua-duanya bukan lagi jaminan kemenangan tanpa disokong kredibiliti, rekod perkhidmatan dan kepercayaan masyarakat.
Perubahan itu juga memberi cabaran kepada parti politik untuk terus melahirkan barisan pemimpin yang lebih inklusif, kompeten dan dekat dengan rakyat, sejajar landskap pengundi yang semakin matang kini.
























