BH Online
Ringkasan Berita

Kos baiki paip bocor di Kelantan cecah RM50 juta setahun

KOTA BHARU: Kos membaiki paip bocor yang menjadi antara penyumbang utama kepada kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi di Kelantan dianggarkan mencecah sehingga RM50 juta setahun.
Kos baiki paip bocor di Kelantan cecah RM50 juta setahun

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin (kanan) melihat proses rawatan air ketika meninjau ke Tapak Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Pasir Hor. Foto Nik Abdullah Nik Omar/NSTP

KOTA BHARU: Kos membaiki paip bocor yang menjadi antara penyumbang utama kepada kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi di Kelantan dianggarkan mencecah sehingga RM50 juta setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata kos berkenaan meningkat berbanding anggaran RM28 juta setahun sebelum ini disebabkan penggunaan sistem khas bagi mengesan kebocoran paip di seluruh negeri, selain peningkatan kos barangan serta tenaga buruh.

Beliau berkata, antara cabaran utama ialah mengesan kebocoran paip yang berlaku di bawah tanah kerana ia tidak kelihatan di permukaan dan keadaan itu menyukarkan pihaknya mengenal pasti lokasi sebenar kebocoran.

"Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini sedang memperkukuh usaha mengesan kebocoran dengan menggunakan peralatan pengesanan khas serta menambah keupayaan tenaga kerja bagi mempercepatkan proses mengenal pasti dan membaiki paip yang rosak.

"Walaupun kerja pembaikan membabitkan kos yang tinggi, ia perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan kehilangan air dan memastikan bekalan sampai kepada pengguna," katanya pada sidang selepas Lawatan Kerja ke Tapak Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Pasir Hor, di sini hari ini.

Izani berkata, pada masa sama, kos penggantian 4,000 kilometer paip di seluruh Kelantan agak tinggi iaitu kira-kira RM1 juta bagi setiap kilometer, namun usaha itu penting bagi mengurangkan NRW yang kini sekitar 55 peratus.

"Kita berharap dengan kerjasama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan AKSB, kadar NRW dapat diturunkan kepada sekitar 40 peratus menjelang 2030.

"Apabila paip lama diganti dan kehilangan air dapat dikurangkan, lebih banyak air yang dirawat akan benar-benar sampai kepada pengguna," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Izani berkata, LRA Chicha 2 yang dijadual siap sepenuhnya pada September depan dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan bekalan air bersih di beberapa kawasan di Kota Bharu apabila mampu membekalkan tambahan 20 juta liter air sehari.

Katanya, projek bernilai kira-kira RM55 juta itu kini sudah mencapai 97 peratus dan air yang dihasilkan memenuhi piawaian kesihatan serta spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pengoperasian loji itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 akaun pengguna. Kawasan yang dijangka menerima manfaat termasuklah penduduk di Peringat, Jalan Pasir Puteh, Telipot, Pasir Hor, Mulong, Bandar Baru Tunjong, Salor dan Alor Duri yang sebelum ini berdepan masalah tekanan air rendah atau bekalan tidak mencukupi," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan