BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor - satu lawan satu: DAP mengaku BN dapat kelebihan undi penyokong PN

JELEBU: DAP mengaku calon Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan meraih undi daripada penyokong Perikatan Nasional (PN) dalam saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan BN mencatat kemenangan besar, semalam.
PRN Johor - satu lawan satu: DAP mengaku BN dapat kelebihan undi penyokong PN

Loke ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Chennah, hari ini. - NSTP/ABNOR HAMIZAM

JELEBU: DAP mengaku calon Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan meraih undi daripada penyokong Perikatan Nasional (PN) dalam saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan BN mencatat kemenangan besar, semalam.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata meskipun keputusan PRN itu sukar bagi Pakatan Harapan (PH), gabungan berkenaan tetap menerima dan menghormati pilihan pengundi.

Tambahan pula, beliau berkata, PH dari awal lagi sudah meramalkan PRN itu sangat mencabar berikutan sokongan dan momentum agak kuat terhadap BN.

"Kita memberi saingan sengit dalam sistem demokrasi dan bagi pihak DAP, kita mengucapkan terima kasih kepada pengundi.

"Walaupun DAP hanya dapat mempertahankan enam daripada 10 kerusi sebelum ini, pola sokongan kepada DAP masih kekal.

"Pada PRN kali ini (apabila) bertanding satu lawan satu, maka kelebihan berlaku kepada calon BN yang mendapat undi daripada penyokong PN," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan, berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Chennah, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan; Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Ahmad Radhi Maarof; dan Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz.

Keputusan penuh PRN Johor, semalam, menyaksikan BN melakar kemenangan besar dengan membolot 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki lapan kerusi lagi dimenangi PH.

Pencabar lain membabitkan PN, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan enam calon BEBAS gagal memenangi sebarang kerusi ditandingi.

Malah, BN berjaya merampas lapan kerusi milik penyandang parti lain, iaitu PH membabitkan DUN Johor Jaya, Perling, Bukit Batu, Jementah dan Tangkak, serta PN (Bukit Kepong, Endau dan Maharani).

Mengulas lanjut, Loke berkata, ada kerusi yang DAP tawan dalam persaingan tiga penjuru pada PRN lalu tidak dapat dipertahankan, namun enam kerusi berjaya dimenangi kali ini dengan majoriti lebih 50 peratus.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan DAP masih ada sokongan yang baik di kawasan bandar.

Selain itu, beliau menekankan bahawa sokongan pengundi Cina kepada PH juga masih hampir 80 peratus yang jika tidak, mustahil DAP boleh memenangi enam kerusi terbabit.

"Pengundi Johor sudah membuat keputusan mereka, kita akur dan hormat. Kita ucap tahniah kepada BN.

"Sekarang, kita perlu memfokus kepada PRN Negeri Sembilan dan sudah pasti situasinya tidak sama dengan di Johor," katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan lalu, PH membentuk kerajaan negeri bersama BN selepas memenangi 31 kerusi dengan 17 daripadanya dibolot PH dan BN (14), manakala PN pula lima kerusi.

Bagaimanapun pada PRN Negeri Sembilan kali ini, PH dan BN bergerak berasingan apabila dilapor mengumumkan masing-masing akan bertanding kesemua 36 kerusi DUN.

Menjelaskan lanjut, Loke berkata, PH memiliki kekuatan untuk mempertahankan kerusi disandang di Negeri Sembilan, selain merampas kerusi lain bagi membentuk kerajaan negeri pada PRN kali ini.

Malah, beliau berkata, sokongan pengundi Cina kepada DAP dan PH di negeri ini masih baik, dengan situasi politik yang berbeza menjadi antara faktor PH menjadi pilihan pengundi.

Video Terkini

Berita Berkaitan