IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengelak soalan berulang kali mengenai janjinya sebelum ini untuk meletak jawatan jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan, sebaliknya menegaskan keutamaan beliau ialah berkhidmat kepada rakyat.
"Hati saya memang bersama rakyat. Saya boleh merasakan keperitan dan kesusahan mereka. Apabila saya datang membantu (program hari ini), elakkan semua isu ini.
"Saya tahu anda (pemberita) datang dari mana... anda mempunyai tugas yang perlu dilakukan (melapor), saya juga ada tugas untuk dilaksanakan.
"Marilah bekerja untuk rakyat dan negara... fokus kepada kesejahteraan rakyat," katanya.
Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP, berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa ribut yang melanda Bercham, baru-baru ini, pada majlis di sebuah dewan di Kampung Bercham, di sini, hari ini.
Terdahulu, pemberita mengekori Kor Ming selama kira-kira lima minit di pintu masuk dan pagar dewan itu berikutan beliau berulang kali enggan menjawab soalan serta beredar selepas bertemu mangsa ribut terbabit.
Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, beliau akan menjadi menteri pertama meletak jawatan sekiranya UMNO mencatat kemenangan besar pada PRN Johor dan Najib dibebaskan.
Keputusan penuh PRN Johor, semalam, menyaksikan BN melakar kemenangan besar dengan membolot 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki lapan kerusi lagi dimenangi PH.
Pencabar lain membabitkan Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan enam calon BEBAS gagal memenangi sebarang kerusi ditandingi.
Malah, BN berjaya merampas lapan kerusi milik penyandang parti lain, iaitu PH membabitkan DUN Johor Jaya, Perling, Bukit Batu, Jementah dan Tangkak, serta PN (Bukit Kepong, Endau dan Maharani).
Apabila diasak soalan lanjut berhubung pencapaian DAP pada PRN Johor itu, Kor Ming menegaskan fokus program hari ini adalah untuk membantu mangsa bencana.
"Kita sedang memfokus kepada bencana ini. Hari ini, kita berada di sini untuk menyerahkan bantuan ihsan berjumlah RM1 juta kepada 554 keluarga di Bercham.
"Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan MADANI terhadap rakyat... memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat Malaysia daripada semua kaum tanpa mengira latar belakang mereka.
"Usaha murni sebeginilah yang sepatutnya kita laksanakan dan fokus kita harus kekal terhadap bencana ini.
"Saya kekal komited bekerja, berkhidmat dan menyumbang kepada rakyat. Itu adalah komitmen saya," katanya.
























