JOHOR BAHRU: "Saya berasa terharu dengan mendat diberikan oleh rakyat, saya menghormati keputusan mereka," kata Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Bekas menteri pendidikan itu, yang juga calon 'heavy weight' Pakatan Harapan (PH), berkata kejayaan merampas kerusi DUN Puteri Wangsa daripada MUDA di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 adalah suatu yang tidak ternilai daripada Yang Maha Esa.
"Apa yang penting sekarang adalah usaha menunaikan tanggungjawab dan bekerja seperti mana saya menjanjikan kepada mereka.
"Beberapa perkara saya rasa perlu tunaikan," katanya ketika ditemukan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato' Onn di sini hari ini.
Beliau ketika diminta mengulas berkaitan bakal menghadapi cabaran di sidang DUN negeri berkata, dia berasakan cabaran yang lebih besar adalah berkhidmat kepada rakyat.
"Saya berasakan cabaran yang lebih besar berbanding sidang DUN adalah berkhidmat kepada rakyat kerana sebagai kapasiti wakil yang bukan kerajaan di negeri.
"Tetapi kekuatan yang saya ada adalah hubungan langsung dengan kerajaan pusat dan agensi-agensi kerajaan pusat.
"Saya akan melakukan yang baik mungkin untuk penduduk DUN Puteri Wangsa, 'we live to fight another day'," katanya.
Maszlee menang dengan majoriti 5,744 selepas meraih 41,821 mendahului calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang mencatat undi 36,077.
Calon MUDA, Rashifa AlJunied meraih undi 5,887; calon Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,332) serta calon bebas, Wang Wee Siong (227).
Peratus pengundian di kerusi berkenaan adalah 68 peratus serta menyaksikan undi rosak sebanyak 612. Sebanyak 90 kertas undi juga tidak dikembalikan.
























