JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Chan San San berjaya merampas kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas tempoh lebih sedekad.
Berdasarkan keputusan rasmi, San San memperoleh majoriti 7,268 undi selepas mendapat 35,971 undi berbanding calon Pakatan Harapan (PH) Lee Wern Yiing yang memperoleh 28,703 undi.
Kemenangan San San itu sekali gus membuktikan kawasan DUN itu bukan lagi kubu DAP.
Sebelum ini, bekas ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dari PH berkhidmat selama tiga penggal bagi kawasan itu sejak menang pada PRU ke-13, PRU ke-14, dan PRN Johor 2022 dengan majoriti 1,922 undi.
San San berterima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepadanya.
"Ini adalah kejutan manis bagi saya, saya akan melakukan terbaik bagi pengundi dan negeri Johor," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan walaupun tidak dianggap sebagai calon pilihan, San San, tidak gentar berdepan saingan daripada calon DAP pada PRN.
Beliau yakin rakyat, khususnya pengundi Melayu, semakin bijak menilai dan tidak mudah lagi terpengaruh dengan janji pembangkang yang disifatkannya sekadar memberi harapan palsu.
























