KUALA LUMPUR: Suasana di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional (BN) di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, riuh dengan sorakan kemenangan selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan itu mempoleh 48 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam ini.
Sorakan gembira dan tepukan penyokong bergema sebaik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan kedudukan semasa kerusi yang didahului BN berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Malah, sekumpulan penyokong wanita turut menyanyikan lagu Perajurit Tanah Air sebagai tanda meraikan prestasi cemerlang BN selepas pengumuman bahawa gabungan itu secara tidak rasmi mendahului 49 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebook memaklumkan keputusan tidak rasmi setakat jam 8.06 malam menunjukkan BN berada di hadapan di 48 kerusi DUN Johor.
Semua pusat pengundian ditutup jam 6 petang ini dengan proses kiraan undi sedang berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan seramai 19,471 pengundi awal atau 94.49 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi awal bagi PRN Johor ke-16, Selasa lalu.
Seramai 7,960 anggota tentera dan pasangan, serta 11,511 anggota polis dan pasangan anggota PGA menunaikan tanggungjawab mengundi awal.
























