KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU tidak menjejaskan syarat cukup bilang bagi membolehkan mesyuarat MPT diteruskan mengikut Perlembagaan parti.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia kerana jumlah Ahli MPT BERSATU ketika ini seramai 23 orang, manakala syarat cukup bilang mesyuarat ialah 12 orang.
"Menurut Fasal 13.12 Perlembagaan BERSATU, cukup bilang mesyuarat ialah satu per dua daripada jumlah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
"Jumlah Ahli MPT BERSATU pada masa ini ialah 23 orang. Maka cukup bilang mesyuarat MPT BERSATU ialah 12 orang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendakwa MPT parti itu berkemungkinan besar tidak lagi sah dan berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran.
Ia susulan tindakan beberapa Ahli MPT meletakkan jawatan baru-baru ini, sekali gus mencetuskan persoalan besar sama ada badan tertinggi parti berkenaan masih mempunyai korum yang mencukupi untuk berfungsi secara sah mengikut perlembagaan parti.
Radzi berkata, kedudukan ketika ini adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan BERSATU yang menetapkan syarat minimum kehadiran bagi membolehkan mesyuarat MPT diadakan dan sebarang keputusan dibuat mengikut lunas parti.
"Dengan ini, peletakan jawatan beberapa ahli MPT BERSATU tidak menjejaskan ketetapan cukup bilang mesyuarat MPT parti.
"Justeru, mesyuarat MPT, pengurusan serta pentadbiran parti boleh berjalan seperti biasa mengikut kehendak Perlembagaan parti," katanya.
Krisis dalaman BERSATU bermula sejak Februari lalu apabila 16 Ahli Parlimen parti itu secara terbuka menyatakan sokongan terhadap gesaan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan sebagai presiden.
Kemelut itu kemudiannya memasuki episod lebih genting apabila Lembaga Disiplin parti bertindak memecat Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kurang 24 jam selepas gerakan penentangan ahli parlimen itu didedahkan kepada umum.
Susulan itu, Lembaga Disiplin BERSATU pada 10 Mac turut mengesahkan penggantungan keahlian Ronald selama dua penggal atau enam tahun, namun semua ahli yang digantung dan dipecat dilaporkan enggan mengemukakan sebarang rayuan terhadap hukuman mereka.
























