BH Online
Ringkasan Berita

Selepas 55 tahun pemergian, legenda filem Melayu, Nordin Ahmad bergelar Datuk

GEORGETOWN: Selepas 55 tahun pemergiannya, legenda Filem Melayu, Allahyarham Nordin Ahmad dianugerahkan darjah kebesaran secara anumerta, Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran.
Selepas 55 tahun pemergian, legenda filem Melayu, Nordin Ahmad bergelar Datuk

Mohd Sobri Mohd Sidik mewakili Allahyarham Nordin Ahmad menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, Georgetown, hari ini. - NSTP/AURIS FAQRURAZZI

GEORGETOWN: Selepas 55 tahun pemergiannya, legenda Filem Melayu, Allahyarham Nordin Ahmad dianugerahkan darjah kebesaran secara anumerta, Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran.

Anugerah kepada tokoh perfileman Melayu oleh Kerajaan Pulau Pinang itu sempena Ulang Tahun ke-85 Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib.

Anak saudara Allahyarham, Mohd Sobri Mohd Sidik, 60, yang mewakili legenda berkenaan menerima anugerah itu, berkata meskipun selepas 55 tahun pemergiannya, seniman tersohor itu kekal antara ikon terpenting dalam sejarah kegemilangan perfileman Melayu.

Menurutnya, anugerah itu bukan sekadar sebagai lambang pengiktirafan terhadap seorang tokoh seni berbakat besar, bahkan menjadi penghormatan tinggi terhadap legasi anak Pulau Pinang yang mengangkat martabat seni lakon negara ke tahap membanggakan.

"Sebagai waris, saya berpandangan penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan yang amat wajar dan bertepatan dengan jasa serta sumbangan besar Allahyarham kepada dunia seni tanah air.

"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri. Kehebatan Allahyarham sebagai pelakon berwibawa, berkarisma dan disegani meletakkan namanya sebagai antara ikon terpenting dalam sejarah kegemilangan perfileman Melayu.

"Sepanjang hayatnya, beliau cukup sinonim dengan watak panglima Melayu dan dialog klasik ikonik 'Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu' menerusi filem Seri Mersing," katanya ketika ditemui pemberita.

Tambah Mohd Sobri, sumbangan Allahyarham bukan sahaja mencorakkan perkembangan industri filem tanah air, malah terus menjadi rujukan dan inspirasi kepada generasi pelakon serta pengkaji sehingga kini.

Katanya, Allahyarham adalah anak kedua daripada enam beradik dan satu-satunya adik perempuan bongsunya yang masih hidup ialah Rokiah, 84, yang kini menetap di Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU), namun tidak dapat hadir ke istiadat terbabit kerana faktor kesihatan.

DSPN yang membawa gelaran 'Datuk' adalah darjah kebesaran pertama diterima Allahyarham. Sebelum ini nama Allahyarham pernah diabadikan di Layar Bintang Filem Nasional (FINAS) pada 2001 sebagai pengiktirafan kepada statusnya sebagai bintang legenda negara.

Mohd Sobri memaklumkan, waris dan ahli keluarga bercadang mempamerkan darjah kebesaran yang diterima Allahyarham di Galeri Karyawan Nordin Ahmad selepas ini supaya dapat menjadi tatapan peminat, pengkaji dan orang ramai.

Katanya, Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Seberang Perai Tengah (SPT) menerima sambutan baik selepas kira-kira dua tahun dibuka, namun akses kepada orang ramai agak terhad kerana perlu mematuhi peraturan sekolah.

Sehubungan itu, Mohd Sobri berkata, waris Allahyarham berhasrat mencari lokasi baharu yang lebih sesuai dengan akses lebih meluas dan terbuka bagi membolehkan galeri itu dikunjungi semua lapisan masyarakat.

"Sekarang ini, bukan sahaja orang dulu-dulu yang minat, malah remaja pun mula mengenali Allahyarham. Jadi saya rasa kita perlu cari satu lokasi lain bagi membolehkan semua lapisan masyarakat melihat lebih dekat legasi ditinggalkan Allahyarham," katanya.

Nordin yang dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir pada 4 Ogos 1929, menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun 1971 ketika berusia 41 tahun di Hospital Besar Singapura akibat demam kuning.

Allahyarham yang juga pengarah dan penulis skrip serta pernah berkhidmat dengan studio Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions dikenali menerusi naskhah hebat seperti filem Hang Tuah, Anak-ku Sazali, Semerah Padi, Air Mata Duyung, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Gurindam Jiwa dan Lanchang Kuning.

Video Terkini

Berita Berkaitan