KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kini berkemungkinan besar tidak lagi sah dan berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran.
Dakwaan itu dibuat susulan tindakan beberapa Ahli MPT yang meletakkan jawatan baru-baru ini, sekali gus mencetuskan persoalan besar sama ada badan tertinggi parti berkenaan masih mempunyai korum yang mencukupi untuk berfungsi secara sah mengikut perlembagaan parti.
Ronald yang kini digantung keahlian selama dua penggal sejak Mac lalu berkata, kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa krisis berkenaan akan diselesaikan secara dalaman, langsung tidak menjawab isu paling asas itu.
Beliau menegaskan gelombang peletakan jawatan dalam kalangan pimpinan tertinggi adalah manifestasi jelas kegagalan presiden menguruskan kemelut dalaman sehingga mengakibatkan kehilangan keyakinan sebahagian besar Ahli MPT yang dipimpinnya.
"Persoalan utama yang perlu dijawab segera ialah sama ada MPT masih boleh berfungsi dan bermesyuarat secara sah menurut Fasal 13.12 Perlembagaan BERSATU yang mensyaratkan kehadiran korum melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan Ahli MPT.
"Kegagalan membuktikan syarat korum tersebut masih dipenuhi akan menimbulkan persoalan serius terhadap keabsahan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT, malah meletakkan BERSATU dalam risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran serta tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran menyifatkan kemelut dalaman BERSATU amat memalukan dan memberi amaran bahawa ia mungkin hanya boleh diselesaikan melalui campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kedudukan BERSATU sebagai sebuah parti politik, malah berpotensi mengganggu kelancaran pentadbiran serta perancangan strategik Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan datang.
Sehubungan itu, beliau mendesak Majlis Tertinggi PN supaya bermesyuarat dengan segera bagi menilai kedudukan semasa BERSATU dalam gabungan itu serta mempertimbangkan langkah perlu demi memastikan kestabilan, kredibiliti, dan kesiapsiagaan PN tidak terjejas akibat krisis dalaman sebuah parti komponen.
Jelasnya, kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik yang menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia mesti mengatasi kepentingan mana-mana individu kerana krisis yang berlarutan tanpa penyelesaian hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan itu untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa.
Krisis dalaman BERSATU bermula sejak Februari lalu apabila 16 Ahli Parlimen parti itu secara terbuka menyatakan sokongan terhadap gesaan supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatan sebagai presiden.
Kemelut itu kemudiannya memasuki episod yang lebih genting apabila Lembaga Disiplin parti bertindak memecat Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kurang 24 jam selepas gerakan penentangan ahli parlimen itu didedahkan kepada umum.
Susulan itu, Lembaga Disiplin BERSATU pada 10 Mac turut mengesahkan penggantungan keahlian Ronald selama dua penggal atau enam tahun, namun kesemua ahli yang digantung dan dipecat dilaporkan enggan mengemukakan sebarang rayuan terhadap hukuman mereka.
























