BH Online
Ringkasan Berita

Peratusan keluar mengundi setakat 2 petang lebih tinggi banding 2022

KUALA LUMPUR: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat petang ini disifatkan lebih tinggi berbanding 2022.
Peratusan keluar mengundi setakat 2 petang lebih tinggi banding 2022

Pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Molek. - Foto NSTP/Najmi Nor’azam

KUALA LUMPUR: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat petang ini disifatkan lebih tinggi berbanding 2022.

Menurut dapatan IDE Research Centre (IDERC), setakat jam jam 2 petang ini sebanyak 48.91 peratus kadar keluar mengundi dicapai iaitu meningkat 9.20 mata peratusan berbanding 39.71 peratus yang direkodkan pada waktu sama semasa PRN Johor 2022.

Peratusan itu mewakili 1,312,152 daripada keseluruhan 2,682,642 pengundi berdaftar sudah menunaikan tanggungjawab berkenaan.

IDERC memaklumkan momentum pengundian ketika itu sebagai jauh lebih 'kuat', namun jumlah itu masih di bawah model utama dengan tempoh pengundian sebelah petang disifatkan sebagai tempoh kritikal untuk mencapai sasaran kadar keluar mengundi.

Dari segi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencatatkan jumlah keluar mengundi paling tinggi, setakat ini Semarang kekal mencatatkan 57.8 peratus, diikuti Sedili (56.6 peratus) dan Kahang (56 peratus).

Sebaliknya, Penggaram mencatat kadar keluar mengundi terendah dengan 39.6 peratus, diikuti Bentayan (40 peratus) dan Simpang Jeram (43 peratus).

PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditentukan oleh 2,727,926 pemilih berdaftar.

Video Terkini

Berita Berkaitan