BALING: Hasrat menghadiahkan beret hijau komando kepada ayah yang terlantar akibat strok menjadi pembakar semangat Leftenan Muda Muhammad Fadli Jamalluddin untuk menamatkan Kursus Asas Komando, sekali gus muncul Penuntut Keseluruhan Terbaik Siri 1/2026.
Pegawai berusia 24 tahun dari Ampang, Kuala Lumpur itu berkata, ayahnya adalah insan yang paling berbangga apabila beliau ditauliahkan sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun tidak sempat menyaksikan perjalanan kerjayanya selepas diserang strok lebih setahun lalu.
Katanya, keadaan itu membuatkan beliau berazam membuktikan kemampuan diri dengan menyertai 21 Grup Gerak Khas (21 GGK).
"Saya mahu buktikan kepada ayah yang saya mampu melangkah lebih jauh dalam kerjaya tentera. Saya nak pakaikan sendiri beret hijau kepada ayah. Itu yang saya pegang sepanjang latihan apabila rasa penat dan mahu mengalah.
"Malangnya ayah saya tak dapat tengok saya ditauliahkan hari ini disebabkan ayah saya mengalami strok lebih setahun lalu," katanya ketika di temui selepas Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK 1/2026 di Universiti Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS), di sini, hari ini.
Beliau adalah antara lima pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando serta layak menyarung beret hijau.
Anugerah itu disampaikan Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kolonel Nordin Abu.
Muhammad Fadli berkata, kejayaan yang diraih hari ini lebih manis kerana beliau pernah gagal menamatkan Kursus Asas Komando Siri 3/2024 menyebabkannya terpaksa mengulang semula kursus dari minggu pertama sekiranya mahu mencuba lagi.
"Saya menangis apabila gagal kerana sudah terlalu jauh dalam latihan, ketika itu saya jalan lasak lebih 100 kilometer tapi saya tumbang, ramai kata cukuplah, jangan ulang lagi kerana ia terlalu mencabar.
"Tetapi saya tidak mahu berhenti. Saya percaya kegagalan itu bukan penamat, sebaliknya peluang untuk saya kembali lebih kuat," katanya yang juga graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Beliau berkata, kursus komando bukan hanya menguji kekuatan fizikal, malah memerlukan ketahanan mental, kepimpinan dan kebijaksanaan membuat keputusan.
"Orang kata nak jadi komando pun sudah susah, apatah lagi menjadi pegawai komando. Bukan sahaja perlu kuat dari segi fizikal tetapi minda juga perlu tajam kerana banyak operasi khas memerlukan kepintaran dalam merancang dan membuat keputusan.
"Sebab itu seorang pegawai komando perlu sentiasa menjaga kecergasan, mental dan pemikiran supaya mampu menghadapi apa sahaja cabaran," katanya.
























