BH Online
Ringkasan Berita

Penghuni pusat jagaan warga emas teruja keluar mengundi

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penghuni pusat jagaan warga emas teruja apabila berpeluang melaksanakan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada hari ini.
Penghuni pusat jagaan warga emas teruja keluar mengundi

Penghuni pusat jagaan warga emas tidak melepaskan peluang untuk mengundi pada hari ini. - Foto ihsan pusat jagaan

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penghuni pusat jagaan warga emas teruja apabila berpeluang melaksanakan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada hari ini.

Pengurus Operasi Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Mohamad Saifullah Zolkanain, berkata penghuni pusat jagaan itu menunjukkan minat dan semangat untuk keluar mengundi biarpun sesetengah mereka mengalami masalah kesihatan kerana faktor usia.

Beliau berkata, ada antara mereka juga bergantung kepada bantuan individu lain ketika bergerak termasuk berkerusi roda.

"Semangat warga emas adalah berbeza dengan generasi kini. Sebelum hari mengundi kami mendapatkan pandangan mereka sama ada mahu mengundi atau tidak.

"Mereka menyatakan ia menjadi satu-satunya tanggungjawab kepada negara yang wajib dilaksanakan lima tahun sekali," katanya.

Mohamad Saifullah berkata, pihaknya membawa sebahagian kumpulan penghuni itu dari pusat jagaan di Senai 1, Kempas ke beberapa pusat mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab mereka, selain sebahagian lagi dibawa keluarga masing-masing ke pusat mengundi.

"Secara keseluruhannya seramai 20 penghuni dibawa keluar mengundi hari ini. Pada waktu pagi kami membawa mereka ke pusat pengundi terletak di Kota Iskandar, Perling, Skudai, Larkin dan Kempas," katanya.

Sementara itu, penghuni, Zahrah Mohamad, 85, berkata dia bersyukur kerana masih berpeluang untuk mengundi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 1, di sini.

"Saya memang tidak pernah ketinggalan untuk mengundi sejak usia muda lagi kerana ia kewajipan setiap warga negara," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan