BH Online
Ringkasan Berita

MB Perlis ingatkan Mohd Shukri hormati titah Raja Perlis, jangan cetus ketegangan politik

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, menasihati Mohd Shukri Ramli supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan politik di Perlis.
MB Perlis ingatkan Mohd Shukri hormati titah Raja Perlis, jangan cetus ketegangan politik

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah (kiri) dan Mohd Shukri Ramli. - Foto fail NSTP

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, menasihati Mohd Shukri Ramli supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan politik di Perlis.

Beliau berkata, nasihat itu diberikan susulan desas-desus mendakwa Mohd Shukri yang juga bekas Menteri Besar berhasrat mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan datang.

Katanya, sebarang usaha ke arah itu bukan sahaja disifatkan sebagai bertentangan dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, malah kenyataan berbaur provokasi berkaitan isu berkenaan boleh membawa implikasi undang-undang di bawah Akta Hasutan yang membabitkan isu 3R, iaitu agama, kaum dan institusi diraja.

"Seluruh Malaysia, malah dunia, mengetahui titah Tuanku ketika Persidangan DUN Perlis yang lalu. Jika beliau berani mengemukakan usul itu, bermakna beliau melanggar titah Tuanku.

"Justeru, saya menasihati bekas Menteri Besar supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemarakkan lagi keadaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shukri mencetuskan pelbagai spekulasi apabila memuat naik hantaran di Facebook yang berbunyi, "Pengkhianat tetap pengkhianat. Kami tetap tolak walau di mana mereka."

Hantaran itu dimuat naik sehari selepas Abu Bakar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, turut memuat naik hantaran di media sosial yang dipercayai mempunyai mesej serupa.

Beliau menulis, "Ular walau salin kulit tetap ular. Pengkhianatan tetap terpahat sebagai satu pengkhianatan walaupun di mana mereka berada!"

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar mungkin akan dibawa pada persidangan DUN Perlis akan datang selepas perkara itu tidak dikemukakan pada sidang DUN bulan lalu.

Video Terkini

Berita Berkaitan