BH Online
Ringkasan Berita

Nahas konvoi RXZ: "Ayah mahu saya cemerlang akademik, jadi pemain hoki negara" - Anak sulung mangsa

DUNGUN: “Ayah selalu ingatkan saya supaya cemerlang dalam pendidikan supaya jadi ikutan adik-adik,” demikian kata Muhammad Aqiff Amsyar Che Mohd Sufian, 13.
Nahas konvoi RXZ: "Ayah mahu saya cemerlang akademik, jadi pemain hoki negara" - Anak sulung mangsa

Aqiff Amsyar menunjukkan foto bapanya, Che Mohd Sufian Che Ghani yang maut bersama tiga rakan dalam kemalangan membabitkan peserta konvoi RXZ di LPT pagi tadi. - NSTP/ Rosli Ilham

DUNGUN: "Ayah selalu ingatkan saya supaya cemerlang dalam pendidikan supaya jadi ikutan adik-adik," demikian kata Muhammad Aqiff Amsyar Che Mohd Sufian, 13.

Aqiff Amsyar adalah anak sulung kepada Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, yang maut bersama tiga lagi rakan dalam kemalangan membabitkan konvoi penunggang motosikal Yamaha RXZ di Lebuh Raya Pantai Timur, dekat susur keluar Plaza Tol Jabur di Kuantan, awal pagi tadi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di itu berkata kali terakhir mereka bertemu ketika bapanya itu menghantarnya pulang ke asrama Sabtu lalu.

Malah, sebelum bertolak balik bapanya itu sempat pesan belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaannya menjadi ikutan tiga adik.

"Dia (ayah) juga mahu saya cemerlang sebagai penjaga gol hoki sehingga dapat mewakili negeri dan negara," katanya yang terpilih sebagai pemain projek hoki sekolah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Merah Paka.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi empat maut, manakala 20 yang lain cedera selepas lebih 30 motosikal Yamaha RXZ terbabit kemalangan.

Tiga lagi yang maut ialah Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33; Mohd Aizat Husin, 33 dan Muhammad Safawi Md Noh, 24.

Menurut Aqiff Amsyar, bapanya sangat menyokong minatnya dalam sukan hoki sejak dari sekolah rendah.

"Ayah sangat gembira saya diterima masuk dan terpilih di SMK Padang Midin selepas saya tidak terpilih masuk ke Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor," katanya

Aqiff Amsyar berkata, dia sangat sedih apabila ayahnya yang bekerja sebagai buruh di tapak projek sanggup menyimpan duit dan memohon sumbangan untuk membeli kelengkapan kit penjaga gol terpakai untuknya.

"Ayah dah serahkan kit terpakai berharga RM2,900 itu pada saya minggu lalu... ayah kata demi saya dia masih berhutang RM700 untuk menjelaskan kit terbabit,

"Saya berjanji pada ayah saya akan bermain hoki dengan baik sehingga ke peringkat tertinggi," katanya.

Menurutnya, dia mengetahui nahas menimpa bapanya itu apabila dihubungi ibunya Faridah Mat Asri, 39, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

"Saya dijemput rakan baik ibu pulang ke rumah menemani tiga adik sementara ibu berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan menuntut jenazah ayah," katanya.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Hadhari Paka dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong Paka.

Video Terkini

Berita Berkaitan