BH Online
Ringkasan Berita

Saya masih ahli BERSATU, tidak timbul soal lompat parti - MB Perlis

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, menegaskan beliau masih kekal sebagai ahli dan Pengerusi BERSATU negeri itu, sekali gus menolak dakwaan akan bertindak melompat parti.
Saya masih ahli BERSATU, tidak timbul soal lompat parti - MB Perlis

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah pada program Gotong Royong Mega Perangi Wabak Denggi, hari ini. Foto Noor Sara Mohamad Hanif/NSTP

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, menegaskan beliau masih kekal sebagai ahli dan Pengerusi BERSATU negeri itu, sekali gus menolak dakwaan akan bertindak melompat parti.

Beliau berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen ketika ini terikat dengan Akta Anti Lompat Parti, justeru isu pertukaran kerajaan atau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak berbangkit sama sekali.

"Netizen membaca cerita tidak habis. Saya hanya melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang dimenangi pada 2024 lalu, bukannya keluar parti.

"Saya masih kekal sebagai Pengerusi BERSATU Perlis yang tertakluk kepada perkenan Presiden parti. Malah, ADUN Pauh, Titi Tinggi, Sena serta Ahli Parlimen Kangar juga masih kekal sebagai ahli BERSATU," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan di media sosial yang mendesak agar DUN Perlis dibubarkan susulan salah faham berhubung statusnya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, tindakan melepaskan jawatan di peringkat Pusat bersama ADUN Sena, Marzita Mansor itu tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pergolakan kepimpinan di peringkat nasional.

Sebaliknya, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri dan menyusun semula BERSATU Bahagian Kangar berikutan wujud pergerakan beberapa ahli jawatankuasa yang ingin meninggalkan parti itu.

Menyentuh mengenai tindakan Ahli Dewan Negara, Senator Azahar Hassan, bertindak keluar BERSATU, beliau menyifatkan itu sebagai keputusan peribadi dan keputusannya dibuat tanpa sebarang perbincangan bersama kepimpinan parti di peringkat negeri.

Beliau bagaimanapun menegaskan tiada tindakan meninggalkan BERSATU membabitkan ahli di peringkat cawangan yang mengikut jejak Azahar ketika ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan