BH Online
Ringkasan Berita

Nahas konvoi RXZ: Suami sempat hantar gambar nasi goreng dinikmati di restoran terkenal

KUANTAN: Seorang daripada empat penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 246.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor di sini, hari ini, sempat menghantar gambar nasi goreng dinikmatinya dalam komunikasi terakhir dengan isteri sebelum terbabit nahas.
Nahas konvoi RXZ: Suami sempat hantar gambar nasi goreng dinikmati di restoran terkenal

Farah Aqilah ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HTAA, hari ini. - NSTP/MUHAMMAD DELIMA ATAN

KUANTAN: Seorang daripada empat penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 246.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor di sini, hari ini, sempat menghantar gambar nasi goreng dinikmatinya dalam komunikasi terakhir dengan isteri sebelum terbabit nahas.

Perkara itu dikongsikan pekerja swasta, Farah Aqilah Mohamad Nazri, 30, yang juga isteri kepada Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33.

Dalam komunikasi melalui WhatsApp itu, Farah Aqilah berkata, suami menghantar gambar nasi goreng yang dimakan arwah di sebuah restoran popular, di sini.

"Kebiasaannya, apabila keluar menunggang motosikal bersama kawan, suami akan pulang pada hari sama dan tidak pernah bermalam.

"Semalam, suami keluar petang dan biasanya akan pulang kira-kira jam 11 malam.

"Bagaimanapun, saya kemudian dimaklumkan oleh isteri kepada kawan arwah bahawa suami terbabit kemalangan kira-kira jam 1 pagi," katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Menceritakan lanjut, Farah Aqilah berkata, beliau tidak berbual panjang dengan arwah yang hanya memaklumkan keluar menunggang motosikal dan akan pulang malam tadi.

Beliau berkata, arwah memang mempunyai hobi menunggang motosikal dan selalu menyertai program berkait motosikal jika tidak terikat dengan pekerjaannya sebagai pemandu.

"Sebenarnya, arwah banyak kali mengajak tetapi saya tidak pernah ikut kerana tidak berminat," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Qud Qays berusia setahun tiga bulan.

Sementara itu bapa arwah, Mazlan Abdullah, 61, berkata beliau hanya mengetahui kemalangan yang menimpa anak ketiga daripada enam beradik itu menerusi panggilan telefon.

"Saya tidak tahu sangat apa yang berlaku... arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka, Terengganu, sebaik saja bedah siasat selesai," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kemalangan itu membabitkan sekumpulan motosikal dan sebuah kereta.

Kumpulan motosikal jenis Yamaha RXZ itu dilaporkan sedang berkonvoi menuju Kemaman.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, iaitu Muhammad Hafiz Al Hakim; Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, dan Mohd Aizat Husni, 33, manakala Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HTAA.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, dipetik mengesahkan lebih 30 motosikal terbabit nahas kira-kira jam 1 pagi itu dengan sekurang-kurang 20 mangsa lagi cedera.

Dalam kejadian itu, seorang penumpang kereta yang juga remaja berumur 13 tahun turut cedera pada tengkuk, manakala pemandu berusia 25 tahun dilaporkan tiada mengalami kecederaan.

Ashari dipetik berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah daripada motosikal berkenaan merempuh belakang sebuah kereta di lorong kanan.

Beliau berkata, motosikal ditunggang Che Mohd Sufian dipercayai terlanggar belakang kereta berkenaan menyebabkannya terjatuh di lorong kanan dan pada masa sama, beberapa penunggang motosikal lain tidak sempat mengelak lalu saling berlanggaran.

Video Terkini

Berita Berkaitan