GERIK: Aliran air Sungai Perak di Kampung Bukit Amarikan, dekat Kampung Kaki Bukit di sini didakwa kembali bertukar warna kebiruan disyaki kembali tercemar.
Ia mengulangi kejadian tular Oktober lalu, apabila aliran air Sungai Perak dekat Jambatan Kampung Sungai Papan, di sini bertukar kebiruan sebelum disahkan berpunca pencemaran dari tapak perlombongan.
Nelayan darat, Mohd Firdaus Mat Rasid, 39, berkata fenomena itu dikesan sejak semalam dan fenomena itu terjadi berulang kali sejak belasan tahun lalu.
Keadaan itu, katanya menyebabkan banyak ikan 'mabuk' lalu mati, menjejaskan hasil tangkapan nelayan darat selain mendatangkan risiko kesihatan kepada penduduk.
"Ketika kejadian Oktober tahun lalu, kampung kami juga sebenarnya mengalami fenomena sama disebabkan air sungai mengalir dari hulu ke hilir.
"Pendapatan orang kampung khususnya nelayan sepenuh masa sangat terjejas apabila tidak dapat turun ke sungai disebabkan banyak ikan mati," katanya ketika dihubungi.
Mohd Firdaus berkata, warna air kebiruan biasanya kembali normal dalam tempoh satu hingga tiga hari, bergantung faktor cuaca selain tahap kederasan aliran sungai.
Terdahulu, video dimuat naik Mohd Firdaus tular, antara lain memamaparkan air Sungai Perak di kampung itu bertukar warna hari ini selain memaparkan banyak ikan mati.
Susulan kejadian sama di Jambatan Kampung Sungai Papan Oktober 2025, kerajaan negeri mengarahkan tiga syarikat perlombongan di daerah Hulu Perak menghentikan sementara operasi.
Bagaimanapun, pada 26 Januari tahun ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata tiga syarikat perlombongan terbabit sudah dibenarkan beroperasi semula pada 13 Januari.
























