KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 29 aduan membabitkan dakwaan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian serta penipuan berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepanjang tempoh 1 Jun hingga 9 Julai lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata 17 aduan berkenaan membabitkan kes penyebaran berita palsu, ucapan kebencian (11) dan penipuan dalam talian (satu).
Bagi kes ucapan kebencian, katanya, sembilan aduan adalah berkait isu perkauman, selain masing-masing satu aduan menyentuh isu agama dan institusi diraja.
"Dalam tempoh 1 Jun hingga 9 Julai 2026, MCMC menerima 29 aduan berkaitan berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan, termasuk sepanjang kempen (PRN Johor).
"Kami sudah meminta platform berkaitan mengambil tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Johor, tiba di pusat mengundi kira-kira jam 9.20 pagi sebelum selesai mengundi 10 minit kemudian dan meninggalkan kawasan itu sekitar jam 9.45 pagi.
Mengulas lanjut, Nie Ching meminta orang ramai lebih berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih, sekali gus jangan mudah terpengaruh dengan kandungan berunsur kebencian dalam media sosial.
"Hari ini adalah hari rakyat Johor membuat pilihan. Saya menyeru semua pengundi supaya membuat semakan terhadap setiap maklumat yang diterima serta jangan mudah terpengaruh dengan berita palsu atau kenyataan berunsur kebencian.
"Jadilah pengundi yang celik digital dan bijaksana," katanya.
























