BH Online
Ringkasan Berita

Johor antara 5 negeri diramalkan hujan lebat, ribut petir hingga 12 tengah hari

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di lima negeri, termasuk Johor, hingga jam 12 tengah hari ini.
Johor antara 5 negeri diramalkan hujan lebat, ribut petir hingga 12 tengah hari

(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di lima negeri, termasuk Johor, hingga jam 12 tengah hari ini.

Selain Johor, METMalaysia dalam amaran dikeluarkan pada jam 9 pagi itu memaklumkan keadaan cuaca itu turut diramalkan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Johor, cuaca buruk itu dijangka melanda Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Hari ini, sejumlah 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuka serentak bermula jam 8 pagi, bagi memilih kerajaan negeri baharu untuk penggal akan datang.

Proses pengundian membabitkan seramai 2.7 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga jam 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari pada tengah malam tadi.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pusat mengundi di kawasan dengan jumlah pengundi kecil akan ditutup lebih awal secara berperingkat, bermula seawal jam 11 pagi.

PRN Johor kali ini menyaksikan sejumlah 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan pertembungan empat penjuru di 12 kerusi, tiga penjuru (27) dan saingan satu lawan satu di 14 kerusi.

Seterusnya, keadaan cuaca sama diramal membabitkan seluruh Melaka, manakala di Kedah pula meliputi kawasan Kota Setar, Pokok Sena, Yan dan Pendang.

Bagi Perak, amaran dikeluarkan untuk kawasan Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak, manakala Negeri Sembilan membabitkan Rembau serta Tampin.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Video Terkini

Berita Berkaitan