KUANTAN: Empat maut, manakala dan beberapa yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, di sini, hari ini.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 1.20 pagi, ketika sekumpulan penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berkonvoi menuju Kemaman.
Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, serta Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah motosikal merempuh belakang sebuah kereta di lorong kanan.
"Motosikal ditunggang Che Mohd Sufian dipercayai terlanggar belakang kereta itu.
"Akibatnya mangsa terjatuh di lorong kanan dan menyebabkan beberapa penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri di atas jalan," katanya melalui kenyataan.
Ashari berkata, kemalangan turut menyebabkan seorang penumpang kereta iaitu seorang remaja berusia 13 tahun cedera pada tengkuk, manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.
Sehingga kini, katanya jumlah sebenar mangsa yang tercedera akibat kemalangan itu belum diperoleh dan mereka dirawat di HTAA.
"Proses bedah siasat terhadap empat mangsa yang maut akan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HTAA mulai jam 8.30 pagi ini," katanya.
Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
























