JOHOR BAHRU: Dua sahabat baik yang juga pengundi pertama kali sanggup menunggu seawal 6 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Molek di sini hari ini.
Pelajar kolej, Chen Sheng, 21, berkata dia bersama rakannya, Shan Sheng, 21, bertolak seawal jam 2 pagi dari Kuala Lumpur dengan menaiki kereta untuk pulang ke Johor Bahru bagi mengundi.
Menurutnya, dia bersyukur kerana perjalanan mereka lancar dan tiba ke Taman Molek, di sini jam 5.30 pagi sebelum bersarapan dan terus ke pusat mengundi.
"Kami sanggup cuti pada hari ini untuk pulang ke Johor Bahru kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi.
"Ini kali pertama buat kami dan debaran itu pasti ada. Kami yakin setiap rakyat Malaysia perlu melaksanakan tanggungjawab bagi membawa perubahan kepada kepimpinan," katanya.
Sementara itu, seorang pesara dan juga orang kurang upaya (OKU), Abdul Razak Hussain, 66, berkata dia menempah khidmat e-hailing dari kawasan perumahannya di Taman Pelangi Indah ke pusat mengundi di Sekolah Agama Taman Molek.
Menurutnya, dia yang ke pusat mengundi bersendirian dibantu petugas di situ bagi memudahkan urusan mengundi.
"Saya tetap akan mengundi kerana ia penting bagi negara. Saya harap anak muda juga tidak lepaskan peluang untuk mengundi.
"Tempoh mengundi sehingga 6 petang, saya berharap semua pihak menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin," katanya.
Kira-kira 200 pengundi beratur di hadapan sekolah berkenaan bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.
Kerusi itu menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mewakili PH berdepan pertandingan lima penjuru melibatkan Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (BERSAMA), Rashifa Al Junied (MUDA) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.
Dengan 128,723 pemilih berdaftar, ia antara kerusi terbesar dari segi jumlah pengundi dan dijangka menjadi antara persaingan paling sengit.
























