JOHOR BAHRU: Sehari menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, rakyat Johor yang bekerja di Singapura mula pulang ke tanah air bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.
Tinjauan Buletin TV3 di Larkin Sentral dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar mendapati aliran penumpang dan kenderaan meningkat sejak pagi tadi.
Pengurusan Larkin Sentral memaklumkan jumlah penumpang bertambah sekitar lima hingga 10 peratus berbanding hari biasa, didorong kepulangan rakyat Johor dari Singapura.
Rata-rata pengundi yang ditemui berkata mereka sanggup mengambil cuti dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, selain memastikan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Bagi Nur Arissa Hanani, 25, kepulangan dari Singapura bukan sekadar untuk mengundi, malah bagi menentukan masa depan Johor.
"Sebagai rakyat Johor, memang wajar untuk saya pulang mengundi kerana inilah peluang kita memilih pemimpin yang berwibawa demi masa depan Johor. Walaupun perlu ulang-alik dari Singapura, saya anggap ia tanggungjawab sebagai anak Johor," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, permintaan terhadap tiket bas juga meningkat apabila ramai mengambil peluang pulang lebih awal.
"Semalam lagi saya tengok tiket bas sudah penuh. Ramai ambil peluang balik lebih awal kerana sedar mengundi itu sangat penting," katanya.
Seorang lagi pengundi, Mohd Amzar Zahayudin, 22, berkata setiap rakyat yang layak mengundi perlu tunaikan tanggungjawab kerana undi yang diberikan akan menentukan hala tuju negeri dan negara.
"Tak kira muda atau dewasa, kalau boleh keluar mengundi, kita kena keluar mengundi. Undi ini untuk masa depan negeri, negara dan generasi akan datang," katanya.
Beliau mengakui perjalanan pulang dari Singapura sesak terutama pada waktu puncak, namun keadaan itu tidak menghalangnya daripada pulang untuk mengundi.
"Saya harap siapa pun yang dipilih nanti dapat menjalankan amanah dengan baik dan terus bekerja demi kepentingan rakyat supaya Johor terus maju," katanya.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan kepulangan lebih 300,000 pengundi luar Johor bagi menunaikan tanggungjawab mereka, yang akan menyumbang kepada peningkatan aliran trafik di lebuh raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16.
























