KUALA LUMPUR: Pilihan raya adalah peluang terbaik untuk menolak politik yang bersifat muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum serta agama demi meraih sokongan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, rakyat Johor termasuk yang berada di perantauan perlu pulang bagi menunaikan tanggungjawab mengundi esok demi menentukan hala tuju masa depan negeri itu.
"Esok hari keramat yang bakal menentukan babak seterusnya dalam ceritera masa depan negeri dan rakyat Johor.
"Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan supaya pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri ini.
"Pilihan raya ini adalah peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, serta menolak politik yang muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama demi meraih undi," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula sejak hari penamaan calon pada 27 Jun lalu akan berakhir tepat 11.59 malam ini.
Pada Sabtu, sejumlah 2.7 juta pengundi dijangkakan akan menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih 56 wakil rakyat.
Anwar berkata, PH membuktikan keupayaan mentadbir menerusi Kerajaan MADANI dengan melaksanakan pelbagai reformasi penting untuk pembangunan negara.
"Selain itu, meningkatkan pelaburan, menaikkan gaji, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang bermaruah serta menyelesaikan pelbagai masalah dan projek yang sekian lama tertangguh.
"Kita juga berjaya memulihkan imej Malaysia yang kini kembali dihormati dan diyakini di persada antarabangsa," katanya.
Beliau berkata semangat pembaharuan dan tadbir urus itu yang akan menjadi faktor mengangkat Johor pada tahap lebih tinggi.
"Justeru dengan penuh rendah hati dan hormat, saya memohon saudara dan saudari memberikan kepercayaan kepada PH untuk memimpin Johor dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua.
"Semoga Allah SWT memberkati Johor dan mengurniakan negeri ini kepimpinan yang amanah serta membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh bangsa Johor," kata beliau.
























