BH Online
Ringkasan Berita

Konflik emosi dorong remaja percaya orang asing - Pakar psikologi

KUALA LUMPUR: Kegagalan mengawal emosi serta menangani konflik dengan baik menyebabkan remaja hari ini lebih mudah dipengaruhi sehingga sanggup mempercayai individu tidak dikenali.
Konflik emosi dorong remaja percaya orang asing - Pakar psikologi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kegagalan mengawal emosi serta menangani konflik dengan baik menyebabkan remaja hari ini lebih mudah dipengaruhi sehingga sanggup mempercayai individu tidak dikenali.

Profesor Psikologi Kaunseling Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata media sosial kini bukan lagi sekadar satu pilihan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada corak kehidupan remaja dan institusi keluarga.

Beliau berkata, remaja berada dalam fasa pembentukan identiti diri, selain lebih cenderung dipengaruhi rakan sebaya atau individu luar berbanding ibu bapa.

"Apabila berdepan tekanan di rumah atau di sekolah, mereka lebih mudah mempercayai individu yang dianggap memahami perasaan mereka, termasuk kenalan yang hanya dikenali menerusi media sosial," katanya kepada BH.

Mohamed Fadzil berkata, ibu bapa perlu menerima hakikat itu dengan memainkan peranan sebagai pembimbing, bukannya mengambil pendekatan menghalang penggunaan platform digital secara menyeluruh.

"Sebagai ibu bapa, mereka sewajarnya mengamalkan gaya keibubapaan demokratik, iaitu memberi ruang kepada anak sambil terus membimbing dan memantau mereka.

"Elakkan pendekatan terlalu autoritarian atau terlalu bebas. Sebaliknya, bina hubungan yang harmoni serta jangan takut untuk menegur apabila perlu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Khadijah Muda, berkata remaja belasan tahun masih bersifat naif dan belum mempunyai keupayaan untuk menilai niat sebenar individu yang baharu dikenali.

Beliau berkata, media dalam talian membolehkan sesiapa sahaja membina identiti yang kelihatan meyakinkan, sekali gus mendorong remaja mempercayai apa yang dipaparkan atau diungkapkan di alam maya.

"Pemangsa boleh menyamar sebagai individu yang penyayang, bertanggungjawab dan memahami mangsa sehingga mewujudkan rasa percaya yang berpunca daripada falasi atau kesalahan berfikir.

"Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila remaja yang berdepan tekanan emosi atau berasa kurang disayangi lebih mudah mempercayai individu luar yang memberi perhatian kepada mereka," katanya.

Khadijah berkata, algoritma media sosial turut menyumbang kepada pembentukan fenomena 'echo chamber', iaitu keadaan apabila pengguna hanya terdedah kepada kandungan yang selari dengan minat dan kepercayaan sendiri sehingga mengukuhkan persepsi yang mungkin tidak tepat.

Katanya, jika trend itu berterusan, lebih ramai remaja berisiko menjadi mangsa penipuan dan jenayah siber, selain memberi kesan terhadap pendidikan, masa depan serta institusi kekeluargaan.

Beliau berkata, pihak sekolah juga perlu memperkukuh program literasi media sosial dengan kerjasama pihak berkuasa, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia disaran memperluaskan kempen kesedaran mengenai risiko penggunaan media sosial dalam kalangan remaja.

"Kita tidak boleh menghalang remaja daripada menggunakan media sosial, tetapi mereka perlu dibekalkan dengan ilmu, pemikiran kritis serta sokongan keluarga supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan