BH Online
Ringkasan Berita

Pekerja cuci kenderaan dituduh pukul warga emas hingga parah guna pengunci tayar motosikal

MELAKA: Pekerja cuci kenderaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan memukul lelaki warga emas dengan pengunci tayar motosikal hingga parah awal bulan ini.
Pekerja cuci kenderaan dituduh pukul  warga emas hingga parah guna pengunci tayar motosikal

Pekerja cuci kenderaan, M Withvanathan didakwa memukul dan mendatangkan kecederaan parah terhadap lelaki warga emas di mahkamah di Melaka, hari ini. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.

MELAKA: Pekerja cuci kenderaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan memukul lelaki warga emas dengan pengunci tayar motosikal hingga parah awal bulan ini.

Tertuduh, M Withvanathan, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding didengar Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lau Chee Kwan, 60, dengan menggunakan pengunci tayar motosikal (fork lock) yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Tun Ali, Tengkera, di sini, kira-kira jam 11.50 malam 5 Julai lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan kemudian memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan mencadangkan jaminan RM18,000.

Beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai.

Withvanathan bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana hanya pekerja cuci kereta dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM40 hingga RM50 sehari bergantung kepada jumlah kenderaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga memberitahu dia pernah mengalami kecederaan patah tangan dan kaki akibat kemalangan sebelum ini turut menanggung adik serta kakaknya yang kematian suami dan tidak bekerja.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin berikutan tiada mana-mana pihak hadir untuk menjamin tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 10 Ogos ini untuk laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam.

Video Terkini

Berita Berkaitan