BH Online
Ringkasan Berita

Kes tatatertib anggota bomba semakin menurun, hanya 3 dibuang kerja setakat Jun lalu - Nor Hisham

SHAH ALAM: Hanya tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibuang kerja daripada 15 orang yang dikenakan tatatertib di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Kes tatatertib anggota bomba semakin menurun, hanya 3 dibuang kerja setakat Jun lalu  - Nor Hisham

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad selepas menyempurnakan Program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2026 yang turut dihadiri Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto RUWAIDA MD ZAIN

SHAH ALAM: Hanya tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibuang kerja daripada 15 orang yang dikenakan tatatertib di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, rekod menunjukkan kes tatatertib kalangan pegawai dan anggota dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini semakin menurun sejak 2023 sehingga Jun lalu.

Beliau berkata, pada 2023, sebanyak 41 kes diikuti pada 2024 sebanyak 43 kes, manakala pada tahun lalu menurun kepada 36 kes manakala sehingga bulan Jun lalu, 15 kes kesalahan tatatertib dibawa kepada lembaga disiplin.

"Pada tahun ini, tiga anggota sudah dibuang kerja, manakala tujuh dikenakan amaran, dua anggota dilucutkan hak emolumen, tiga anggota ditangguh gaji, seorang dibebaskan dan kita menutup tiga kes kerana mendapati bahawa asas-asas kepada prosiding itu tidak cukup kuat untuk diambil tindakan.

"Terdapat lapan kluster aduan membabitkan tiga kes tidak hadir bertugas, tiga penyalahgunaan dadah selalunya berkait dengan tidak hadir bertugas, dua jenayah kekerasan (bertumbuk bergaduh), tiga kes ingkar perintah. Masing-masing satu kes bankrap, tidak jujur dan tidak bertanggungjawab, satu jenayah syariah serta keldai akaun ," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2026 yang turut dihadiri Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri, di sini hari ini.

Nor Hisham, rata-rata anggota yang terbabit dalam kes tatatertib itu berumur di bawah 40 tahun dan anggota lelaki.

"Kita tengok selepas lima tahun perkhidmatan, ada segelintir anggota yang mula menunjukkan gaya masing-masing, mula buat perangai namun secara asasnya kita berusaha tarik mereka kembali ke pangkal jalan sebab mereka sudah dilatih menjadi anggota yang berkemahiran, amatlah rugi sebab masing-masing sudah berpengalaman," katanya.

Mengulas lanjut katanya, setiap kes membabitkan anggota yang dilaporkan akan diteliti dengan cermat bagi memastikan tindakan diambil adalah adil serta berdasarkan asas prosiding cukup kuat sebelum sebarang keputusan disiplin diputuskan terhadap anggota terbabit.

"Selepas kita (JBPM) buat intervensi dan menghantar pasukan khas ke balai-balai berkaitan untuk melihat penyusunan dalaman, penyusunan tenaga kerja dan kewangan, kita dapati bahawa trend aduan daripada balai-balai ini telah menurun dengan banyak," katanya.

Selain program integriti, katanya, penekanan diberikan terhadap pembangunan kepimpinan di peringkat ketua balai bagi memastikan setiap balai di seluruh negara dapat beroperasi dengan tata kelola yang cekap, telus dan berintegriti tinggi.

Katanya, ini bertujuan memastikan setiap anggota memikul tanggungjawab besar dalam menjaga nama baik organisasi serta memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa memenuhi ekspektasi rakyat tanpa sebarang kompromi terhadap integriti.

"Kepimpinan khususnya kepimpinan balai secara intervensi perlu ada pengukuhan. Kalau dahulu mungkin orang cakap tiada program sedemikian, namun mulai dua tahun lepas JBPM telah membuat program pengukuhan kepada layar tengah kita iaitu ketua balai membabitkan 336 balai bomba di seluruh negara.

"Pengukuhan kepada kumpulan ini kita tekankan kerana mereka adalah individu yang menjaga paling ramai anggota di lapangan. Kita letakkan bahawa setiap individu dalam jabatan perlu memegang tanggungjawab yang besar untuk menjaga nama jabatan melebihi daripada tugas hakiki," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan