BH Online
Ringkasan Berita

'Kalau pegawai lambatkan tuntutan, salur maklumat kepada saya' - CEO PERKESO

KUALA LUMPUR: Pencarum yang berdepan kelewatan atau halangan dalam proses tuntutan akibat birokrasi diminta membuat aduan terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
'Kalau pegawai lambatkan tuntutan, salur maklumat kepada saya' - CEO PERKESO

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed bersama Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Azirruan Ariffin (kiri) pada sidang media di Menara PERKESO. - Foto NSTP/Fathil Asri

KUALA LUMPUR: Pencarum yang berdepan kelewatan atau halangan dalam proses tuntutan akibat birokrasi diminta membuat aduan terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai PERKESO yang didapati sengaja melengah-lengahkan atau menyukarkan urusan pencarum yang layak menerima faedah.

Beliau berkata, pencarum yang mengalami masalah itu boleh mengemukakan aduan secara langsung kepadanya supaya tindakan segera dapat diambil.

"Kalau ada anggota yang melambatkan, melewatkan atau mewujudkan birokrasi, salurkan maklumat terus kepada saya. Jangan hantar kepada pengarah negeri atau pihak lain, terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif.

"Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melengah-lengahkan proses kerana itu bukan budaya kerja PERKESO hari ini," katanya dalam sidang media di Menara PERKESO di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan segelintir pihak yang mendakwa proses tuntutan faedah PERKESO mengambil masa lama serta menyukarkan pencarum.

Dr Mohammed Azman berkata, PERKESO memahami kepentingan mempercepatkan pembayaran faedah kepada pencarum, terutama membabitkan kes kemalangan, kematian atau kehilangan upaya yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan keluarga.

Katanya, kelewatan bayaran faedah boleh memberi tekanan besar kepada pencarum dan waris yang bergantung kepada bantuan berkenaan ketika berdepan situasi sukar.

Beliau berkata, dalam kes kematian misalnya, faedah pengurusan jenazah perlu disalurkan segera kerana keluarga memerlukannya untuk menguruskan pengebumian.

"Apabila berlaku kemalangan, kita mahu pencarum segera mendapat faedah pengurusan jenazah. Kalau selepas seminggu baru dapat, apa gunanya kerana keluarga sudah tentu memerlukan bantuan untuk menguruskan jenazah.

"Jika berlaku kemalangan dan pencarum tidak dapat bekerja, kita perlu membayar faedah hilang upaya sementara sebagai pengganti pendapatan. Kalau bayaran diterima selepas tiga bulan, dalam tempoh itu mereka hendak makan apa?" katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan setiap tuntutan tetap perlu melalui prosedur ditetapkan berdasarkan akta, peraturan dan pekeliling yang berkuat kuasa bagi memastikan proses dilakukan mengikut undang-undang serta mengelakkan penyalahgunaan.

Katanya, kewujudan prosedur bukan bertujuan mewujudkan kerenah birokrasi, sebaliknya menjadi mekanisme kawalan supaya setiap tuntutan diproses secara telus dan mengikut kelayakan.

"Prosedur mesti ada. Kita ada akta, peraturan dan pekeliling. Bukan bermaksud kita mahu mencipta birokrasi, tetapi kita perlu memastikan semuanya mengikut peraturan," katanya.

Dr Mohammed Azman berkata, PERKESO tidak menunggu pencarum atau waris tampil membuat tuntutan semata-mata, sebaliknya turut mengambil pendekatan proaktif untuk mengenal pasti individu yang layak menerima bantuan.

Katanya, Skuad Prihatin PERKESO di seluruh negara memantau laporan media, maklumat polis dan sumber berkaitan bagi mengenal pasti kes kemalangan, kecederaan atau kematian yang melibatkan pencarum.

"Ada keadaan sebelum mereka tahu bahawa mereka layak, kita sudah sampai di hadapan pintu rumah mereka untuk membantu.

"Kita mempunyai Skuad Prihatin di seluruh negara bagi membantu mereka yang mengalami kemalangan, kecederaan atau kematian," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan