BH Online
Ringkasan Berita

Jajaran baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao lengkapkan kemudahan sempadan

BUKIT KAYU HITAM: Pembukaan jajaran laluan baharu menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Sadao, Thailand bermula esok, bakal melengkapkan kemudahan serta infrastruktur di kawasan sempadan antara Malaysia-Thailand.
Jajaran baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao lengkapkan kemudahan sempadan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul merasmikan jajaran jalan baharu menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Sadao di Sempadan Malaysia-Thailand. Foto Wan Nabil Nasir/NSTP

BUKIT KAYU HITAM: Pembukaan jajaran laluan baharu menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Sadao, Thailand bermula esok, bakal melengkapkan kemudahan serta infrastruktur di kawasan sempadan antara Malaysia-Thailand.

Pintu masuk Bukit Kayu Hitam-Sadao adalah laluan darat paling penting antara dua negara berkenaan berikutan nilai dagangan antara Malaysia-Thailand dijangka mencecah RM122.3 bilion (AS$30 bilion) menjelang 2027.

Perasmian laluan baharu yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, juga bakal meningkatkan kegiatan ekonomi terutamanya di wilayah sempadan yang memanfaatkan rakyat kedua negara.

Laluan baharu sepanjang 900 meter menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Sadao akan mula dibuka kepada semua pengguna jalan raya mulai jam 6 pagi (waktu Malaysia) esok.

Ini juga menandakan pintu sempadan sedia ada yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Danok, Thailand akan ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah malam ini (waktu Malaysia).

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataannya berkata, pembukaan laluan baharu itu adalah satu pencapaian strategik yang mencerminkan kejayaan kerjasama erat antara kedua negara dalam membangunkan infrastruktur sempadan yang lebih moden, bersepadu dan berdaya tahan.

Katanya, laluan ini menjadi simbol persahabatan Malaysia–Thailand serta menyokong agenda Keterhubungan ASEAN melalui peningkatan mobiliti rakyat, perdagangan, pelaburan dan pelancongan di rantau ini.

"Laluan baharu ini dijangka memperkukuh hubungan strategik Malaysia–Thailand melalui kerjasama rentas sempadan yang lebih erat dan meningkatkan kesalinghubungan Koridor Ekonomi Utara-Selatan ASEAN.

"Ia juga akan melancarkan perdagangan, logistik dan rantaian bekalan dan merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan serta meningkatkan kecekapan urusan keluar masuk negara," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama laluan baharu ini juga dijangka dapat memperkukuhkan aspek keselamatan sempadan melalui infrastruktur moden dan kawalan bersepadu.

Video Terkini

Berita Berkaitan