BH Online
Ringkasan Berita

Pencarum pilih keluar LINDUNG 24 JAM perlu isi borang pelepasan liabiliti - PERKESO

KUALA LUMPUR: Pencarum yang tidak berhasrat meneruskan Skim Kemalangan Bukan Bencana (LINDUNG 24 JAM) boleh memilih untuk keluar dengan melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti.
Pencarum pilih keluar LINDUNG 24 JAM perlu isi borang pelepasan liabiliti - PERKESO

Mohammed Azman bersama Azirruan (kiri) pada sidang media di Menara PERKESO. NSTP/FATHIL ASRI

KUALA LUMPUR: Pencarum yang tidak berhasrat meneruskan Skim Kemalangan Bukan Bencana (LINDUNG 24 JAM) boleh memilih untuk keluar dengan melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti.

Borang berkenaan akan tersedia secara dalam talian di laman sesawang PERKESO mulai Isnin depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata perakuan berkenaan akan dijadikan asas perundangan jika terdapat sebarang pertikaian pada masa depan, terutama bagi kes membabitkan kemalangan di luar waktu kerja.

"Maksudnya sesiapa yang ingin keluar daripada skim ini, mereka perlu mengisi borang yang kita anggap sebagai perakuan pelepasan liabiliti.

"Jadi, jika mereka memilih untuk tidak (teruskan), ada pelepasan perakuan liabiliti ini, PERKESO dan majikan tidak akan bertanggungjawab. Jangan salahkan PERKESO atau majikan selepas ini," katanya pada sidang media di Menara PERKESO di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Azirruan Arifin.

Mohammed Azman berkata, pekerja yang enggan menyertai LINDUNG 24 JAM boleh memuat naik borang perakuan pelepasan liabiliti dan memaklumkan kepada sumber manusia tempat bekerja untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan tiada sebarang implikasi perundangan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) jika berlaku kemalangan kepada pencarum di luar waktu kerja.

Bagaimanapun, katanya, pencarum masih boleh menyertai semula skim itu pada bila-bila masa jika diperlukan.

"Jika memilih untuk keluar daripada skim ini dan pada satu ketika, bila mereka sedar tiada caruman skim ini apabila berlaku kemalangan dan kemudian menyesal, mereka dipersilakan (masuk) pada bila-bila masa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan