KUALA LUMPUR: PERKESO berharap pekerja meneruskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana (Lindung 24 Jam) walaupun kerajaan memutuskan skim itu tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara pilihan berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata skim itu diwujudkan bukan sahaja untuk memastikan pekerja mendapat perlindungan sepanjang masa, malah menjamin kebajikan serta kelangsungan hidup keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja.
"Itu sebenarnya hasrat kita. Saya ingin meminta ataupun berharap pekerja faham akan kepentingan perlindungan ini.
"Fikirlah keluarga, anak, isteri, ibu bapa yang bergantung kepada kita jika kita pencari nafkah kepada keluarga.
"Walaupun kini ia menjadi pilihan, saya berharap pekerja memahami kepentingan perlindungan ini," katanya dalam sidang media di Menara PERKESO di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat), Edmund Cheong Peck Huang dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Azirruan Arifin.
Kelmarin, Jemaah Menteri memutuskan caruman Lindung 24 Jam tidak lagi bersifat mandatori, berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan berkenaan menyaksikan caruman 0.75 peratus daripada gaji pekerja itu kini dilaksanakan secara sukarela.
"Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam bawah PERKESO.
"Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman itu tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan lebih sembilan juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, dipetik berkata skim Lindung 24 Jam yang diperkenalkan melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Caruman Lindung 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi maksud caruman iaitu RM6,000.
Untuk permulaan, kadar caruman bagi Lindung 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan, justeru majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim itu kepada PERKESO setiap bulan.
INFO Lindung 24 Jam
Fasa 1 (dua tahun pertama): 0.75%
Fasa 2 (tiga tahun berikutnya): 1.00%
Fasa 3 (tahun keenam dan seterusnya): 1.25%
Contoh kiraan mudah (Fasa 1 sekarang – 0.75%):
Gaji RM1,700 → caruman sekitar RM12.75
Gaji RM3,000 → caruman sekitar RM22.50
Gaji RM5,000 → caruman sekitar RM37.50
























