KUALA LUMPUR: Dasar perlindungan kanak-kanak yang komprehensif meliputi pengurusan aduan, pelantikan pegawai atau pasukan khas bagi pemantauan dan tindakan susulan perlu diperkenalkan di semua sekolah di negara.
Pengasas bersama Buku Jalanan Chow Kit (BJCK), Siti Rahayu Baharin, berkata langkah itu penting bagi melindungi kanak-kanak secara maksimum dan memastikan sekolah menjadi ruang yang benar-benar selamat daripada aspek fizikal, emosi dan psikososial.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang komited kepada prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC), Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada sebarang bentuk keganasan, kecuaian dan eksploitasi.
"BJCK percaya tragedi seperti insiden murid ditikam di sekolah harus menjadi titik perubahan kepada pembaharuan sistem secara lebih menyeluruh. Apa yang diperlukan bukan dasar bersifat sementara atau tindak balas bermusim tetapi komitmen berterusan untuk membina budaya perlindungan dalam setiap institusi pendidikan.
"Justeru, BJCK menyarankan supaya setiap sekolah mempunyai Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang komprehensif, ia mesti dilaksana secara konsisten dengan prosedur jelas bagi pencegahan, pelaporan, pengurusan risiko dan intervensi.
"Melalui dasar ini, perlu ada seorang pegawai atau pasukan yang bertanggungjawab terhadap perlindungan dan keselamatan di setiap sekolah sebagai 'focal person' bagi menyelaras isu perlindungan kanak-kanak, pengurusan aduan dan tindakan susulan," katanya kepada BH.
Media sebelum ini melaporkan pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera akibat ditikam belasan kali di beberapa bahagian belakang badan, bahu dan muka di sebuah sekolah di Banting, Selangor.
Susulan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Suspek yang juga remaja perempuan memakai baju T hitam dan berseluar kotak merah hitam ketika kejadian dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui laluan pintu masuk utama.
Mengulas lanjut, Siti Rahayu, berkata pada masa sama mekanisme aduan di sekolah perlu dipertingkat bagi memastikan ia benar-benar mesra kanak-kanak, selamat, sulit dan mudah diakses.
Ia juga mestilah mampu membina keyakinan kanak-kanak untuk membuat aduan atau tampil meminta bantuan tanpa rasa takut atau stigma tertentu seperti maklumat mereka dibocorkan.
Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) juga disaran membuat penilaian risiko serta audit berkala terhadap Dasar Sekolah Selamat dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada keselamatan fizikal, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan psikososial, budaya sekolah dan keberkesanan sistem perlindungan.
"Tragedi yang berlaku (termasuk insiden tikam di sekolah) harus menjadi titik perubahan kepada pembaharuan sitem yang lebih menyeluruh. Apa yang diperlukan bukan sekadar dasar atau tindak balas sementara serta bermusim tetapi komitmen berterusan bagi membina budaya perlindungan dalam setiap institusi pendidikan.
"Akhirnya ukuran sebenar sebuah sistem pendidikan bukan sekadar kecemerlangan akademik tetapi sejauh mana ia mampu memastikan setiap kanak-kanak berasa selamat, dihormati, didengari dan dilindungi," katanya.
























