KOTA BHARU: Seorang wanita Malaysia yang memandu di Hat Yai, Thailand, didenda 1,000 baht (kira-kira RM123) selepas gagal mengemukakan lesen memandu fizikal ketika diperiksa polis trafik negara itu, awal minggu ini.
Jurucakap Polis Trafik Thailand berkata, wanita itu memandu kenderaan dengan pendaftaran Malaysia sebelum ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota trafik yang bertugas di bandar pelancongan popular itu.
"Apabila polis Thailand meminta wanita itu menunjukkan lesen memandunya, dia hanya mengemukakan versi digital disimpan dalam aplikasi MyJPJ.
"Berikutan lesen memandunya baru diperbaharui, dia sudah biasa menggunakan lesen digital yang menurutnya diterima untuk kegunaan di Malaysia.
"Bagaimanapun, anggota polis memaklumkan pihak berkuasa Thailand hanya mengiktiraf lesen memandu Malaysia dalam bentuk fizikal atau Permit Memandu Antarabangsa (IDP).
"Disebabkan wanita itu tidak memiliki kedua-dua dokumen berkenaan, dia didenda 1,000 baht kerana gagal mengemukakan lesen memandu sah," katanya.
Jurucakap itu berkata, ramai rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand membawa pasport, dokumen kenderaan, kad SIM Thailand dan wang yang sudah ditukar, namun ada yang terlupa membawa lesen memandu fizikal.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini menjelaskan rakyat Malaysia yang memandu di luar negara tetap diwajibkan membawa lesen memandu fizikal yang boleh didapati dengan bayaran RM20, manakala warga asing dikenakan caj RM100.
























