KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia bercadang menubuhkan unit dron di setiap negeri bagi memperkukuh operasi penguatkuasaan serta meningkatkan keupayaan pemantauan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata setiap bahagian penguatkuasaan negeri kini mempunyai pengendali dron yang terlatih sebagai langkah awal menjelang penubuhan unit berkenaan.
Imigresen mula memperkenalkan penggunaan dron atau Unmanned Aerial Vehicle (UAV) pada 2021 selepas memperoleh beberapa dron bersaiz kecil bagi tujuan risikan dan pemantauan.
"Pada 2024, jabatan menambah aset dron bagi memenuhi keperluan operasi penguatkuasaan yang semakin meningkat," katanya.
Zakaria berkata, dron kini digunakan oleh semua bahagian penguatkuasaan Imigresen di seluruh negara dalam pelbagai operasi dan serbuan.
Katanya, teknologi itu menjadi pengganda keupayaan penting yang membolehkan pegawai menjalankan pemantauan udara ketika operasi, mengurangkan risiko kecederaan, mengesan suspek yang cuba melarikan diri atau bersembunyi.
Katanya, dron digunakan dalam hampir setiap operasi penguatkuasaan, bergantung kepada kesesuaian lokasi dan keperluan operasi.
























