KUALA LUMPUR: Pengalaman pertama seorang lelaki menderma darah bertukar mimpi ngeri apabila prosedur rutin itu menyebabkan kecederaan arteri yang jarang berlaku, memaksanya dirawat di hospital selama seminggu dan melalui perbicaraan undang-undang selama lapan tahun.
Bagaimanapun, Afiq Azman, 33, akhirnya memperoleh keadilan selepas Mahkamah Tinggi Alor Setar baru-baru ini, memutuskan kecederaan dialaminya berpunca daripada kecuaian perubatan ketika prosedur pendermaan darah dan mengarahkan ganti rugi RM61,924.68 dibayar kepadanya.
Mengikut dokumen mahkamah, Afiq mengalami koyakan pada arteri yang mengakibatkan pendarahan dalaman serius dan bengkak teruk pada lengan kanan selepas menyertai kempen derma darah anjuran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di ruang legar Institut Kementerian Belia Malaysia di Kedah pada 29 November 2015.
Seorang jururawat melakukan prosedur venepuntur pada lengan kanan mangsa sebelum dia diminta menjalani pemerhatian dan kemudian dibenarkan pulang ke asrama.
Tidak lama selepas tiba di biliknya, lengan kanan Afiq berasa sangat sakit, membengkak teruk dan bertukar kebiruan.
Beliau kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Jitra sebelum dimasukkan ke Kedah Medical Centre.
Pemeriksaan mendapati beliau mengalami pseudoaneurisma pada arteri brakial kanan dan sindrom kompartmen pada lengan bawah kanan serta dirawat di hospital selama tujuh hari.
Berikutan kecederaan dialaminya, beliau memfailkan saman di Mahkamah Sesyen pada 2019 terhadap jururawat terbabit, Ketua Jabatan Hematologi dan Transfusi HSB, pengarah hospital dan kerajaan.
Pada 20 Januari tahun lalu, Mahkamah Sesyen menolak tuntutannya dari segi liabiliti dan ganti rugi, menyebabkan Afiq mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Dr Mohd Johan Lee, ketika membenarkan rayuan itu, memutuskan kakitangan perubatan gagal mengenal pasti tanda amaran berlaku komplikasi serius ketika prosedur pendermaan darah.
Beliau berkata, Mahkamah Sesyen tersilap apabila menganggap keadaan Afiq sekadar hematoma biasa sedangkan bukti menunjukkan jarum venepuntur mengoyakkan arteri brakial sehingga menyebabkan kecederaan vaskular yang serius.
"Bukti yang tidak dipertikaikan mengenai koyakan arteri akibat prosedur venepuntur adalah bukti prima facie yang kukuh bahawa standard penjagaan dilanggar," katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 7 Julai lalu.
Mohd Johan turut mendapati kakitangan perubatan gagal mematuhi Garis Panduan Amalan Transfusi Kementerian Kesihatan 2008 yang mengawal selia prosedur pendermaan darah ketika itu.
Katanya, terdapat beberapa petunjuk jelas kemungkinan berlaku tusukan pada arteri, termasuk kesukaran mencari vena, manipulasi jarum yang berlebihan dan pembengkakan yang berlaku dengan cepat selepas prosedur.
"Namun, kakitangan perubatan sebaliknya meyakinkan Afiq bahawa pembengkakan itu adalah normal dan gagal memberikan pemantauan serta rawatan susulan sewajarnya.
"Risiko tusukan arteri yang serius sehingga menyebabkan pseudoaneurisma dan sindrom kompartmen adalah risiko material yang sepatutnya dimaklumkan, khususnya kepada penderma darah kali pertama," katanya.
Mohd Johan turut memutuskan plaintif dalam kes kecuaian perubatan tidak semestinya perlu mengemukakan saksi pakar bebas jika keterangan doktor yang merawat dan dokumen perubatan semasa sudah memadai untuk membuktikan kecuaian.
"Mahkamah terikat di sisi undang-undang untuk menilai pendapat pakar melalui analisis logik yang ketat.
"Jika sesuatu laporan pakar mengabaikan realiti fizikal kecederaan atau bergantung kepada rekod perubatan yang tidak lengkap, laporan itu gagal memenuhi ambang kemampanan logik," katanya.
Mahkamah turut memerintahkan kos RM80,000 dibayar kepada plaintif.
Peguam MM Humavathi mewakili plaintif, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Waheda Abd Rahman dan Abdul Rahman Md Zuki mewakili pihak defendan.
























