TEPAT jam 11.59 malam ini, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berakhir dan esok, 2,727,926 pemilih bakal memenuhi 1,140 pusat mengundi memilih wakil rakyat dan parti untuk menerajui pentadbiran negeri buat penggal berikutnya.
Kempen bermula 27 Jun lalu dalam suasana agak suram mula rancak memasuki minggu kedua dengan kehadiran ramai pemimpin utama parti, menjadikan saingan kali ini dilihat sengit.

Tinjauan dan pandangan penganalisis serta pemerhati politik menyimpulkan pelbagai jangkaan dan ramalan kemenangan, namun rata-rata terarah kepada Barisan Nasional (BN) yang bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Atas kertas, BN Johor yang diterajui Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat mempunyai kelebihan kerana gabungan itu adalah parti memerintah negeri, namun berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, PH meraih lebih undi disebabkan peratusan pengundi bukan Melayu melebihi 60 peratus.
Pada PRU berkenaan yang menyaksikan peratusan keluar mengundi mencecah 74 peratus, BN menang hanya sembilan kerusi Parlimen berbanding 14 diraih PH daripada keseluruhan 26 kerusi. Dua lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN) dan satu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
PRU 2022 dilangsungkan selang lapan bulan selepas PRN Johor, masing-masing pada November dan Mac.
Untuk rekod, BN tewas buat kali pertama di Johor pada PRU 2018 ketika PH ditunjangi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) turut disokong BERSATU diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.

Bagi PN, peluang gabungan itu pada PRN kali ini dilihat agak tipis disebabkan perpecahan dalaman serta konflik di antara PAS dan BERSATU. BERSAMA dan MUDA pula dilihat sekadar masuk ke gelanggang bagi menguji kekuatan dan pengaruh masing-masing.
Namun, PH diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai misi utama mahu mengulangi sejarah menumpaskan BN buat kali kedua, namun terpaksa bergantung kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi esok berdasarkan trend dua pilihan raya lalu.
Pastinya, gabungan itu berharap pada momentum PRU 2022, yang jika dinilai secara simulasi undian di 56 DUN, jumlah 816,400 atau 42.6 peratus undi popular diraihnya menyaksikan PH menang di 30 kerusi.
Peratusan keluar mengundi
Peratusan keluar mengundi boleh menjadi faktor pemangkin yang berupaya memberi kelebihan undi kepada PH, namun ramalan pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan sekitar 55 hingga 70 peratus sahaja mengundi seperti kelaziman dalam mana-mana PRN atau Pilihan Raya Kecil (PRK).
Dalam konteks PRN Johor kali ini, Sabtu sebagai hari bekerja khususnya dalam kalangan rakyat Johor yang mencari rezeki di Singapura, dijangka sedikit menjejaskan kehadiran mereka pulang mengundi.
Di samping itu, kira-kira 63,617 pengundi muda terdiri penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), yang rata-ratanya ketika ini dalam fasa peperiksaan penggal akhir semester, mungkin tidak terdorong untuk pulang mengundi, terutama mereka yang belajar di luar Johor.

Jangkaan itu diakui penganalisis politik, Dr Muhamad Helmy Sabtu yang melihat mood rakyat Johor, khususnya pengundi muda dan luar untuk mengundi kali ini agak rendah.
"Kalau PRU, memang semua mahu merasai kehangatan itu. Dalam keadaan sekarang, ketiadaan wow factor atau gelombang, isu besar nasional dan sebagainya, sebenarnya akan mengurangkan mood pengundi.
"Apatah lagi dengan pengundi muda dan dari luar pulang ke kampung semata-mata untuk mengundi. Itu apa yang saya nampak. Jadi mungkin mood itu dalam sederhana sahaja," katanya yang juga Ketua Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.
Selain faktor peratusan mengundi, beberapa cabaran besar juga dihadapi PH kali ini dengan rentetan isu nasional membelenggu Kerajaan Perpaduan serta PH dilihat berupaya mencetuskan gelombang undi protes kuat di Johor.
Situasi sama berlaku pada PRN Sabah November lalu yang menyaksikan DAP yang menjadi sandaran penting PH untuk menguasai sejumlah DUN tewas di semua kerusi ditandingi.
Cabaran lain adalah hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO dan DAP, selain isu adat di Negeri Sembilan yang turut membentuk sentimen penolakan, terutama dalam pengundi Melayu di Johor terhadap PH.
Faktor seterusnya boleh menjejaskan undi kepada PH adalah perpecahan dalaman PKR menyaksikan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli mewujudkan BERSAMA.
Selain itu, penyertaan MUDA pada PRN ini juga berpotensi memecahkan undi, sekali gus menjejaskan sokongan pengundi bandar kepada PH.

Bagi BN pula, gabungan itu tampil dalam PRN kali ini dengan mesej kestabilan dan dilihat memiliki kelebihan untuk terus menguasai majoriti kerusi, apatah lagi dengan sokongan terbuka pemimpin PAS yang mengarahkan penyokong mengundi calon BN kali ini.
Sekitar lapan kerusi, termasuk DUN Machap ditandingi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka boleh dimenangi BN dengan majoriti lebih besar kali ini.
Dalam PN, konflik dalaman BERSATU menyaksikan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) muncul boleh memberi kelebihan undi kepada UMNO, yang dilihat sudah bebas dari fasa perpecahan dalamannya.
Ia berbeza ketika PRU 2022 apabila UMNO dan BN memasuki gelanggang pilihan raya dalam kedudukan pemimpinnya berpecah sehingga wujud kumpulan dirujuk 'Kluster Putrajaya' dan 'Kluster Menara Dato' Onn' ketika itu yang kesannya menyaksikan undi popular PN meningkat ketara.
Sokongan UMNO meningkat
Namun, situasi berbeza di PRN Johor kali ini apabila ramai penyokong BERSATU mula beralih menyertai semula UMNO di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Ini dilihat ketara bersandar kewujudan semula ratusan cawangan penaja UMNO, baik sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di seluruh Johor, yang sebelum ini berstatus dimansuh atau digantung selepas penyertaan mereka ke dalam BERSATU.
Dalam PRU 2022, PN merekodkan kira-kira 506,700 atau 26.4 peratus undi popular di Johor, menyaksikan mereka menguasai tujuh DUN, menghampiri undi popular diperoleh UMNO dan BN, iaitu sekitar 583,900 undi atau 30.5 peratus.
Tentunya peralihan signifikan pengundi PN ke BN, jika berlaku kali ini, terutama apabila PN hanya meletakkan calon di 33 kerusi, bakal mengubah corak undi diraih gabungan diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu kali ini.
Keputusan PAS memutuskan kerjasama dengan BERSATU sehingga tidak membantu kempen calon parti diterajui Muhyiddin itu di lapangan dan pergerakan jentera masing-masing pula secara terpisah turut menjejaskan keyakinan pengundi Melayu kepada PN.
Muhamad Helmy juga berkata, BN Johor memasuki fasa PRN kali ini dalam kedudukan sudah cukup bersedia, termasuk dalam menampilkan rekod cemerlangnya mentadbir Johor sejak empat tahun lalu.
"Apabila pembubaran DUN diumumkan, BN sebenarnya sudah pun dalam keadaan sangat bersedia dari sudut persiapan jentera dan strategi dengan segala dasar atau pendekatan sudah dibuat sejak satu, dua tahun kebelakangan ini.
"Kerajaan BN di Johor memang menunjukkan pencapaian luar biasa, hebat dan sangat cemerlang. Dengan kedudukan hasil negeri semakin meningkat saban tahun, saya rasa sebelum PRU14 dulu pun, memang sudah ada rekod bagus untuk ekonomi.
"Kemudian KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) meningkat, menyebabkan berlaku perkembangan ekonomi pesat dengan semua sektor menarik pelaburan. Saya jangka berbekal faktor ekonomi positif ini, BN punya kelebihan mengekalkan kedudukan di Johor," katanya.
Cabaran besar BN adalah di kerusi bukan Melayu, khususnya yang ditandingi MCA dan MIC. Jika dominasi PH, khususnya DAP berjaya dipecahkan, MCA dan MIC dijangka memiliki kelebihan, sekali gus membantu BN mencipta kejutan baharu meraih lebih banyak kerusi berbanding 2022 lalu.
























