BH Online
Ringkasan Berita

Bahang Piala Dunia: Restoran mamak untung 30 peratus

KUALA LUMPUR: Bahang Piala Dunia FIFA 2026 sejak 12 Jun lalu, membawa limpahan rezeki kepada pengusaha restoran mamak dan bistro yang menjadi lokasi pilihan rakyat Malaysia menyaksikan aksi bola sepak secara beramai-ramai.
Bahang Piala Dunia: Restoran mamak untung 30 peratus

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan siaran langsung perlawanan Piala Dunia di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi. - Foto NSTP/Azreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Bahang Piala Dunia FIFA 2026 sejak 12 Jun lalu, membawa limpahan rezeki kepada pengusaha restoran mamak dan bistro yang menjadi lokasi pilihan rakyat Malaysia menyaksikan aksi bola sepak secara beramai-ramai.

Memasuki saingan suku akhir, kebanyakan restoran mamak yang menyediakan siaran langsung perlawanan terus dibanjiri pelanggan, sekali gus menyaksikan peningkatan jualan antara 20 hingga 30 peratus berbanding hari biasa.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak, berkata lonjakan itu didorong kehadiran pelanggan yang memenuhi restoran sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.

Beliau berkata, pelanggan lazimnya berada di restoran selama dua hingga tiga jam bagi menyaksikan keseluruhan perlawanan, meningkatkan purata perbelanjaan bagi setiap meja.

"Premis ahli kami mencatatkan peningkatan jualan antara 20 hingga 30 peratus berbanding hari biasa.

"Kehadiran pelanggan yang ramai dalam satu-satu masa meningkatkan purata resit bagi setiap meja, sekali gus memberi impak positif kepada hasil perniagaan," katanya kepada BH.

Lanjutkan operasi

Beliau berkata, kebanyakan restoran turut melanjutkan waktu operasi sehingga awal pagi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahu menyaksikan aksi secara langsung.

Katanya, minuman seperti teh tarik dan kopi, selain makanan ringan termasuk roti canai dan murtabak menjadi pilihan utama pelanggan sepanjang perlawanan berlangsung.

"Restoran mamak sekali lagi membuktikan peranannya bukan sekadar tempat makan, tetapi menjadi lokasi masyarakat berkumpul, berinteraksi dan menikmati suasana Piala Dunia bersama keluarga serta rakan," katanya.

Bagaimanapun, Mohammed Mosin berkata, kehadiran pelanggan bagi perlawanan yang berlangsung antara jam 3 hingga 5 pagi lebih tidak menentu dan banyak bergantung kepada pasukan yang beraksi.

"Peningkatan pelanggan turut memberi cabaran kepada pengusaha, terutama membabitkan kos bayaran kerja lebih masa kepada kakitangan, pengurusan inventori dan memastikan tahap kebersihan premis sentiasa terpelihara," katanya.

Sementara itu, Pengarah GM Nasi Kandar, Mohd Nazri Ahmad, mengakui suasana di restoran miliknya sepanjang aksi Piala Dunia kali ini lebih meriah berbanding hari biasa.

Beliau berkata, ia kerana budaya menonton kejohanan itu di restoran sudah sebati dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Setiap kali Piala Dunia yang berlangsung empat tahun sekali, restoran mamak yang beroperasi 24 jam memang menjadi pilihan dan pelanggan boleh datang mengikut waktu perlawanan," katanya ketika dihubungi BH

Difahamkan, aksi perlawanan yang bermula pada jam 1 pagi mencatatkan kehadiran pelanggan paling ramai, diikuti perlawanan pada jam 3 pagi.

Mohd Nazri berkata, pelanggan biasanya tiba kira-kira 30 minit sebelum sepak mula dan hanya beredar selepas tamat perlawanan.

Video Terkini

Berita Berkaitan