PASIR MAS: Tragedi lebih lima dekad lalu masih segar dalam ingatan seorang warga emas selepas kedua-dua belah tangannya putus pada paras pergelangan tangan akibat letupan bom ikan buatan sendiri.
Menurut Seman Husain, 84, kejadian yang berlaku itu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya dan menyesali perbuatan yang dilakukan.
Menceritakan kembali insiden itu, Seman yang lebih mesra disapa Pak Muda berkata, pada petang kejadian selepas selesai solat Asar, dia turun bersendirian ke Sungai Dana tidak jauh dari rumahnya untuk menangkap ikan menggunakan bom ikan buatan sendiri.
"Masa itu hanya Pak Muda seorang yang berada di atas perahu. Tiba-tiba bom itu meletup sebelum sempat dibaling menyebabkan Pak Muda terpelanting ke dalam sungai dan pada masa sama, kedua-dua tangan juga putus hingga ke paras pergelangan tangan sehingga mengalami cacat kekal.
"Mujurlah bapa saudara yang berada berhampiran terdengar bunyi letupan lalu bergegas ke sungai untuk membantu," katanya ditemui di Kampung Chasi, di sini.
Terdahulu wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar yang menyantuni warga emas berkenaan dan menyampaikan wang zakat.
Bapa kepada 10 orang, datuk 40 cucu serta 10 cicit ini berkata, dia dirawat selama sebulan di hospital sebelum benar-benar pulih dan dibenarkan keluar dari hospital.
"Pada mulanya Pak Muda tidak dapat menerima hakikat kehilangan kedua-dua tangan. Pak Muda mengambil masa hampir dua tahun untuk reda serta menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
"Sepanjang tempoh itu Pak Muda mengalami kemurungan kerana memikirkan nasib keluarga, ...mujurlah isteri, Siah Muda, 83, mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan mengambil upah menoreh getah," katanya.
Katanya, sejak 20 tahun lalu, dia berkhidmat sebagai bilal di Masjid Chasi dan menerima elaun sebanyak RM600 sebulan.
"Pada masa sama, Pak Muda turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 bagi menampung keperluan hidup," katanya.
























