KUALA NERUS: Bot candat sotong yang karam pada 2 Julai lalu pada kedalaman 24 meter dapat ditimbulkan dalam operasi semalam.
"Bot itu karam pada kedalaman 24 meter dan jarak penglihatan pula hanya dua meter ketika kerja-kerja mengikat tong plastik bagi mengapung bot terbabit," kata Mohd Amirul Mat Noh, 42, yang terbabit kerja mengapungkan bot berkenaan.
Dalam kejadian jam 8.40 malam itu bot yang membawa tekong, krew dan 10 pemancing karam, namun 11 daripada mereka selamat manakala kru bot berkenaan Ahmad Nasaruddin Mohd Jalil, meninggal dunia.
Menurut Mohd Amirul, Selasa lalu mereka ke lokasi bot karam. Keesokannya kumpulan kami ke lokasi dan menurunkan 20 biji tong plastik berisi air sebelum diikat pada badan bot berkenaan.
"Sebaik kerja mengikat selesai, angin bertekanan tinggi kemudian dimasukkan ke dalam tong berkenaan dan dalam tempoh 10 minit bot yang berada pada kedalaman 24 meter timbul ke permukaan," katanya yang berpengalaman dalam kerja-kerja mengapung bot karam sejak 14 tahun lalu.
Menurutnya, cabaran utama untuk menaikkan bot itu sebelum ditunda ke jeti adalah arus, kerana keadaan arus deras ditambah jarak penglihatan hanya dua meter membataskan pergerakan.
Terdahulu tular di media sosial mengenai proses menaikkan sebuah bot nelayan yang karam awal bulan ini dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
























