BH Online
Ringkasan Berita

Agihan baja subsidi musim 1/2026 dijangka selesai 15 Julai

ALOR SETAR: MADA memberi jaminan pembekalan baja subsidi bagi Musim 1/2026 di Kawasan Muda akan selesai menjelang 15 Julai ini berikutan proses pengagihan kepada pesawah kini berada di peringkat akhir dengan 90 peratus bekalan sudah disalurkan.
Agihan baja subsidi musim 1/2026 dijangka selesai 15 Julai

Gambar hiasan

ALOR SETAR: MADA memberi jaminan pembekalan baja subsidi bagi Musim 1/2026 di Kawasan Muda akan selesai menjelang 15 Julai ini berikutan proses pengagihan kepada pesawah kini berada di peringkat akhir dengan 90 peratus bekalan sudah disalurkan.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga semalam, sebanyak 1,065,154 beg baja sebatian atau 96 peratus daripada keperluan keseluruhan sudah diterima di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 958,638 beg atau 90 peratus sudah diagihkan kepada 55,411 pesawah di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

"Pihak MADA sedang mempergiat pemantauan terhadap baki pembekalan bagi memastikan pengedaran baja sebatian diselesaikan sepenuhnya menjelang 15 Julai ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi baja sebatian tambahan pula, sebanyak 79,640 beg atau 13 peratus daripada keperluan sudah diterima di PPK MADA dengan 68,076 beg atau 90 peratus daripadanya sudah diagihkan kepada pesawah.

Katanya, bagi baja urea, sebanyak 41,400 beg atau 10 peratus daripada keperluan sudah diterima di PPK MADA dan 33,120 beg atau 80 peratus daripada jumlah itu sudah diedarkan kepada pesawah.

"Pembekalan baja sebatian tambahan dijangka selesai sepenuhnya pada 30 Julai ini, manakala baja urea pada 15 Ogos depan," katanya.

Baru-baru ini media melaporkan pesawah terpaksa menanggung kerugian disebabkan isu kelewatan bekalan baja subsidi yang terus berlarutan setiap musim yang menyebabkan tumbesaran terbantut, sekali gus mengakibatkan hasil merosot sehingga 50 peratus bagi satu hektar.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd Shazwan Suban dilaporkan berkata, dilema itu kini terpaksa ditanggung kira-kira 50,000 pesawah di kawasan MADA yang membabitkan keluasan 100,685 hektar apabila bekalan baja urea difahamkan masih belum dibekalkan di kebanyakan kawasan meskipun tanaman padi sudah melebihi 20 hari.

Sementara itu, MADA memaklumkan kemajuan penanaman padi Musim 1/2026 di kawasan seluas 100,641 hektar menunjukkan perkembangan positif apabila kerja pratepuan selesai sepenuhnya, penyediaan tanah mencapai 97.3 peratus manakala aktiviti penanaman sudah mencecah 90.1 peratus atau 90,677.5 hektar.

Katanya, jumlah takungan air di Empangan Pedu berada pada paras 44.58 peratus, Empangan Ahning 48.78 peratus dan Empangan Muda 12.40 peratus dengan jumlah takungan keseluruhan 42.06 peratus.

"Kadar pelepasan air dikekalkan pada kadar 1,000 kaki padu sesaat (cusec) bagi keperluan domestik.

"Pihak MADA akan terus mempertingkatkan pemantauan terhadap pembekalan baja, kemajuan aktiviti penanaman serta pengurusan sumber air secara bersepadu bersama semua pihak yang terlibat.

"Segala usaha dan tindakan yang dilaksanakan adalah bagi memastikan keperluan pesawah terus diberi keutamaan, aktiviti penanaman Musim 1/2026 berjalan mengikut perancangan, seterusnya menjamin produktiviti pengeluaran padi serta memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan