BH Online
Ringkasan Berita

Polis Selangor tumpas 4 sindiket dadah, rampas 116.2kg bunga ganja RM13.34 juta

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan merampas 116.2 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai RM13.34 juta dalam empat serbuan berasingan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Warisan, Sepang, dekat sini.
Polis Selangor tumpas 4 sindiket dadah, rampas 116.2kg bunga ganja RM13.34 juta

Shazeli (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis bunga ganja bernilai RM13.34 juta pada sidang media di IPK Selangor, Shah Alam, hari ini. NSTP / FAIZ ANUAR

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan merampas 116.2 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai RM13.34 juta dalam empat serbuan berasingan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Warisan, Sepang, dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pada serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dengan kerjasama polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA pada akhir bulan lalu dan awal bulan ini, seramai lima suspek berumur 25 hingga 40 tahun ditahan membabitkan masing-masing dua lelaki asing dan wanita tempatan serta seorang lelaki tempatan.

"Pada serbuan pertama 29 Jun lalu, polis mengesan dua bagasi mencurigakan melalui mesin imbasan di terminal berkenaan dan menahan pemiliknya iaitu seorang lelaki warga asing dari negara rantau Asia Tenggara.

"Polis menahan suspek di ruangan menunggu pelepasan penerbangan dan hasil pemeriksaan awal, menemukan 60 bungkusan plastik berisi ketulan mampat bunga ganja dianggarkan 33.6 kilogram bernilai RM2.7 juta.

"Pada serbuan kedua di lokasi sama, polis mengesan satu bagasi mencurigakan dan menemukan 39 bungkusan plastik ketulan mampat bunga ganja dianggarkan 21.1 kilogram bernilai RM1.7 juta.

"Susulan itu, polis menahan seorang wanita tempatan yang juga pemilik bagasi itu. Saringan awal air kencing suspek positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPJ) Selangor, hari ini.

Shazeli berkata, bagi serbuan ketiga pada 3 Julai lalu, polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan di kawasan parkir sebuah kondominium sekitar Kota Warisan dan merampas empat bagasi serta tiga beg plastik berisi 146 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat bunga ganja dengan anggaran berat 76 kilogram, bernilai RM6.1 juta.

"Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Alza bernilai RM20,000 dipercayai digunakan untuk aktiviti penghantaran dadah dan ujian saringan mendapati, suspek kedua, (wanita) positif dadah jenis THC.

"Siasatan mendapati, kedua-dua suspek ini aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu," katanya.

Shazeli berkata, keesokan harinya polis mengesan dua bagasi mencurigakan ketika melalui mesin imbasan di Terminal 1 dan menemukan 68 bungkusan plastik dianggarkan seberat 35.5 kilogram bernilai RM2.84 juta.

"Polis menahan seorang lelaki warga asing dari negara Eropah yang juga pemilik bagasi terbabit. Saringan awal air kencing mendapati, suspek negatif dadah," katanya.

Katanya, semakan ke atas semua suspek mendapati, tiga suspek warga tempatan yang ditangkap masing-masing mempunyai satu hingga tujuh rekod dadah dan jenayah lampau, manakala warga asing tiada rekod jenayah di negara ini.

"Semakan dokumen perjalanan dua warga asing mendapati, suspek menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.

"Semua suspek masing-masing direman tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap dan kemudian disambung reman lagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan