BH Online
Ringkasan Berita

Sentimen pengundi bandar beri keyakinan kepada BN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin mampu memberi saingan sengit, malah berpeluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dan Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini susulan perubahan sentimen pengundi bandar yang didakwa semakin positif terhadap prestasi kerajaan negeri.
Sentimen pengundi bandar beri keyakinan kepada BN

Pengundi DUN Kota Iskandar pada Program Ramah Mesra bersama Masyarakat Iskandar Puteri di Bilik Gerakan Barisan Nasional. - Foto NSTP/Najmi Nor’azam

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin mampu memberi saingan sengit, malah berpeluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dan Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini susulan perubahan sentimen pengundi bandar yang didakwa semakin positif terhadap prestasi kerajaan negeri.

Calon BN DUN Stulang, Bong Seng Heng, berkata maklum balas diterima sepanjang tempoh berkempen menunjukkan sambutan pengundi kali ini jauh lebih menggalakkan berbanding pilihan raya sebelum ini, termasuk dalam kalangan pengundi Cina yang sebelum ini penyokong kuat DAP.

Katanya, perubahan itu memberi keyakinan kepada BN untuk cuba menawan semula kerusi Stulang yang kali terakhir dimenangi MCA pada 2008.

"Kita nampak satu perubahan yang agak ketara. Mereka sambut kita dengan lebih baik, lebih banyak bersemuka dan interaksi itu lebih menggalakkan.

"Pada pilihan raya lalu kita tewas dengan majoriti 2,866 undi, tetapi kali ini sambutan yang kita terima lebih baik. Pengundi Melayu memang pada tahap yang agak tinggi, namun yang paling memberi keyakinan ialah sambutan daripada pengundi Cina," katanya dalam podcast sempena PRN Johor.

Beliau berkata, perubahan sentimen itu didorong keyakinan masyarakat terhadap prestasi ekonomi kerajaan negeri sepanjang empat tahun di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Prestasi ekonomi kerajaan negeri amat menggalakkan. Rata-rata pengundi Cina mengiktiraf pencapaian ini di bawah pimpinan kerajaan negeri BN. Sebab itu mereka lebih yakin kerajaan negeri ini boleh membawa Johor ke tahap yang lebih cemerlang," katanya.

Mengulas pembangunan Johor Bahru yang kini dipacu projek mega seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Bong berkata penduduk Stulang dijangka menjadi antara penerima manfaat terbesar apabila RTS mula beroperasi pada 1 Januari tahun depan.

Katanya, kedudukan Stulang yang berhampiran terminal RTS di Bukit Chagar akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat, terutama dalam sektor perniagaan, hotel dan perkhidmatan.

"RTS akan membawa jumlah penumpang yang sangat besar dari Singapura. Mereka akan turun di Bukit Chagar yang kedudukannya berhampiran DUN Stulang. Penduduk amat mengalu-alukan projek ini kerana ia akan memberi manfaat kepada sektor perniagaan, hotel dan perkhidmatan.

"Namun kita juga perlu memastikan ada kesinambungan kepada projek ini. Jika RTS membawa ramai penumpang tetapi kesesakan lalu lintas masih berlaku, ia akan menjadi masalah besar.

"Sebab itu kita mahu Transit Aliran Automatik (ART) dipercepatkan supaya pembangunan ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau turut menyifatkan konsep Greater Johor Bahru (Konurbasi Johor Bahru) mampu mengubah imej bandar raya itu daripada sekadar bandar transit kepada destinasi ekonomi bertaraf antarabangsa.

"Dulu orang anggap Johor Bahru hanya bandar transit untuk ke Singapura. Sekarang kita mahu jadikan Johor Bahru sebuah bandar antarabangsa yang mampu menarik lebih banyak pelaburan, peluang pekerjaan dan pembangunan berteknologi tinggi," katanya.

Sementara itu, calon BN DUN Perling, Pannir Selvam, berkata, sepanjang kempen beliau mendapati kebanyakan pengundi lebih banyak membangkitkan isu tempatan berbanding isu nasional.

Beliau berkata, sebagai bekas Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), beliau memahami masalah sebenar yang dihadapi penduduk di kawasan itu.

"Rintihan yang mereka suarakan ialah masalah tempatan. Sejak bertahun lalu tidak banyak perubahan berlaku. Masalah yang sama masih kekal, malah semakin bertambah. Sebab itu mereka mencari siapa yang benar-benar boleh membantu mereka.

"Disebabkan pengalaman saya sebagai Ahli Majlis, saya sangat memahami masalah yang diutarakan penduduk. Berbanding calon lain, mereka banyak bercakap mengenai isu pusat.

"Tanggungjawab ADUN ialah menjaga kawasan yang dipilih. Apa masalah di kawasan itu, apa kehendak penduduk, itulah yang perlu diselesaikan. Isu pusat adalah tanggungjawab Ahli Parlimen, bukan ADUN," katanya.

Beliau berkata, Perling mempunyai demografi yang pelbagai membabitkan kawasan bandar, kampung tradisional, kampung Orang Asli serta kawasan perumahan yang dihuni golongan B40, M40 dan T20, sekali gus memerlukan pendekatan berbeza mengikut keperluan penduduk.

"Di Perling ada kampung Orang Asli, kampung Melayu, kawasan bandar dan kawasan yang memang diduduki oleh mereka yang kaya raya.

"Jadi permintaan setiap kawasan berbeza. Sebab itu seorang ADUN perlu turun padang, berbincang dengan rakyat serta bekerjasama rapat dengan ketua kampung dan ahli majlis bagi mencari penyelesaian," katanya.

Pannir berkata, antara isu utama yang memerlukan perhatian segera ialah masalah parkir membabitkan pekerja yang berulang-alik ke Singapura sehingga menjejaskan operasi peniaga tempatan.

"Ramai pekerja meletakkan kenderaan di kawasan kedai sebelum ke Singapura. Akibatnya pelanggan tidak mahu ke pusat penjaja itu kerana sukar mendapatkan parkir seterusnya menjejaskan peniaga,

"Jadi inilah peranan sebagai seorang ADUN untuk mengumpulkan masyarakat tempatan, ketua masyarakat dan Ahli Majlis untuk mengatasi masalah ini. Kita sudah ada pendekatan jangka pendek untuk menyelesaikan isu ini dan ia akan dilaksanakan selepas PRN," katanya.

Mengulas keputusan BN meletakkan calon MIC di kerusi majoriti pengundi Cina di Perling, Pannir berkata langkah itu membuktikan semangat Bangsa Johor serta kerjasama erat dalam gabungan BN.

"Barisan Nasional bukan parti yang bersifat perkauman. Kita ada UMNO, MCA, MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Friends of BN. Semua bekerjasama.

"Saya sebagai calon MIC bertanding di kerusi majoriti Cina, tetapi sebenarnya di belakang saya ada orang Melayu, Cina dan India yang sama-sama turun berkempen. Inilah semangat Bangsa Johor yang kita mahu tunjukkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata konsep Greater Johor Bahru yang membabitkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai dan Pasir Gudang akan memudahkan urusan pelabur serta mempercepat transformasi bandar pintar.

"Kalau dahulu sistem permohonan lesen, permit bangunan atau aduan kerosakan berbeza mengikut PBT, sekarang semuanya diselaraskan di bawah satu konsep. Ini memudahkan pelabur dan menjadikan Greater Johor Bahru sebagai bandar pintar yang moden," katanya.

Mengulas kadar keluar mengundi awal yang tinggi, kedua-dua calon berharap momentum itu diteruskan pada hari pengundian.

Bong berkata peningkatan peratusan keluar mengundi mencerminkan kematangan rakyat Johor.

"Pengundi sekarang lebih matang. Saya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Johor keluar mengundi dan membuat penilaian yang tepat untuk memilih ADUN yang benar-benar boleh berkhidmat serta membentuk kerajaan negeri yang kukuh.

"Jika kadar mengundi terus tinggi seperti yang ditunjukkan pada undian awal tempoh hari, jadi mana-mana calon yang dipilih sebagai ADUN adalah individu yang mendapat undian majoriti penduduk di kawasan itu," katanya.

Pannir pula berharap pengundi menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya hanya melihat mereka berdasarkan faktor parti semata-mata.

"Nilailah calon dan cara mereka bekerja sebelum ini. Janganlah melihat pada parti yang diwakili sahaja. Menteri Besar sudah membuktikan banyak pencapaian dalam tempoh empat tahun. Jika diberi mandat yang lebih besar, saya yakin Johor mampu bergerak lebih jauh ke hadapan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan